Surau anjur Tahun Baru Cina, kembangkan syiar Islam

Program ini merapatkan hubungan berbilang kaum

KULIM– Demi memupuk semangat saling menghormati antara kaum, Surau Al- Kautsar Taman Seri Petaling di sini menganjurkan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina, kelmarin.

Sambutan diadakan di pekarangan surau itu secara tidak langsung menarik minat masyarakat bukan Islam untuk mengenali agama Islam dengan lebih dekat.

Pengarah program merangkap Pengerusi Persatuan Cina Muslim ( MACMA) daerah Kulim, Mohamad Hadi Firdaus Ang berkata, penganjuran itu bertujuan memupuk semangat saling hormat menghormati dalam meraikan perayaan tahun baru cina walaupun berlainan bangsa.

Menurutnya, ia juga sebagai langkah memperkenalkan surau sebagai institusi menyatupadukan masyarakat, mengeratkan silaturahim antara penduduk-penduduk di Taman Seri Petaling khususnya dan di daerah Kulim amnya.

“Disamping itu juga, melalui sambutan Tahun Baharu ini juga masyarakat Tiong Hua yang hadir dapat mengenal mesra antara masyarakat Melayu ataupun India dan dapat membina jalinan persefahaman antara satu sama lain,”katanya.

Firdaus kiri mewakili penganjur menyampaikan sumbangan kepada seorang warga emas

Tambahnya, ratusan masyarakat berbilang kaum hadir dalam majlis berkenaan termasuk kanak-kanak.

Beliau berkata, ajaran Islam sendiri sangat menekankan sikap toleransi dan kenal-mengenal antara satu sama lain walaupun berlainan agama, bangsa dan budaya.

“Seperti firman Allah dalam surah al-Hujarat ayat ke-13 yang bermaksud Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.

Program tersebut merapatkan hubungan pelbagai kaum

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal,”katanya.

Firdaus kiri bergambar bersama masyarakat yang hadir

Firdaus Ang berkata, sambutan Tahun Baru Cina lazimnya disambut mengikut kalendar Lunar iaitu dengan membersih dan menghias rumah, berkumpul sekeluarga untuk makan bersama dan pemberian hadiah.

Menurutnya, ia disambut sehinggalah hari ke-15 iaitu hari terakhir sambutannya dengan mengadakan Pesta Tanglung.

Yea Sang menjadi juadah utama dalam program tersebut, ia merupakan satu tradisi masyarakat Tionghua meraikan Tahun Baru Cina

“Keunikan budaya kaum Cina ini mestilah dihormati dan dipertahankan. Ia adalah warisan yang mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri.

“Adalah menjadi satu keperluan untuk semua pihak mengenali ciri-ciri khusus masyarakat ini bagi memastikan kita semua dapat hidup secara aman dan saling bekerjasama dalam banyak aspek kehidupan,”katanya.

Pelbagai jenis juadah termasuk kuih disediakan dalam majlis ini

Firdaus berkata, beliau berharap aktiviti-aktiviti yang diadakan sempena sambutan berkenaan akan mengukuhkan lagi persaudaraan sesama manusia.

“Khususnya dalam keluarga di samping mengingatkan kita akan kepentingan menghargai perbezaan,”katanya.

Jelasnya, Malaysia pada hari ini adalah aman dan rakyat dapat hidup dengan harmoni antara satu sama lain.

“Ini adalah kemenangan besar untuk setiap warganegara Malaysia. Kita hidup bersatu padu dan setiap ahli masyarakat saling membantu dan bekerjasama walaupun kita berlainan kaum ataupun agama.

“Kita boleh bekerja di dalam sesebuah organisasi tanpa mengira keturunan kerana setiap dari kita sayangkan keamanan.

“Ini adalah satu rahmat yang mungkin kita tidak sedar. Tapi percayalah, Malaysia tidak akan maju, aman dan tenang seperti sekarang jika terdapat konflik perkauman yang berpanjangan,”katanya.

Firdaus empat kanan bergambar bersama AJK MACMA dan wakil NGO

Program julung kali diadakan di surau tersebut mendapat kerjasama MACMA, Hidayah Centre Foundation, IKRAM, YADIM, , Pusat Dakwah & Tarbiah Al Jazari PTSB, PERKIM, Interactive Dakwah Traning (IDT), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS), Masjid Al-Muqarabbin Taman Angsana, Masjid Muthmainnah, dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.