“14.5 juta dijangkiti, lebih 600,000 maut COVID-19 seluruh dunia”- PM

KUALA LUMPUR-Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak supaya tidak ambil mudah langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mencegah COVID-19.

Beliau berkata, ini kerana kes jangkitan dan kematian akibat virus itu di seluruh dunia terus menunjukkan peningkatan.

“Sehingga semalam, hampir 14.5 juta telah dijangkiti virus COVID-19 di seluruh dunia dengan lebih 600,000 kematian.

“Walaupun kes COVID-19 kekal rendah di negara kita, saya agak bimbang dengan 13 kluster baru sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, petang tadi.

Muhyiddin berkata, antara 13 kluster baharu ialah Kluster Restoran Kuala Lumpur dalam kalangan pekerjanya yang dikesan sejak 6 Julai lalu termasuk Kluster Stutong bermula 18 Julai berikutnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri melahirkan rasa kebimbangan dengan sikap rakyat Malaysia yang mula mengabaikan SOP.

Beliau menuntut masyarakat sentiasa mengamalkan budaya baharu seperti memakai pelitup muka, tidak berjabat tangan dan menjaga penjarakan sosial supaya terhindar daripada virus berbahaya itu.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.