Jangan jadikan Isu TH sebagai modal politik, kelemahan wajib diatasi – PAMM

Dato' Dr Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR -Isu pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak wajar terus dijadikan bahan pertelagahan politik, kata Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus.

Menurut beliau, isu Tabung Haji melibatkan amanah pendeposit, tadbir urus, kedudukan kewangan serta keyakinan umat Islam terhadap institusi berkenaan.

“Jika terdapat kelemahan atau salah laku, siasatan dan tindakan mesti diteruskan. Namun perkara ini jangan hanya dijadikan bahan politik semata-mata.

“Yang lebih penting ialah memastikan kepentingan pendeposit terpelihara dan Tabung Haji terus diurus secara telus, profesional serta berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mencadangkan supaya pengurusan Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2026 diteliti melalui Jawatankuasa Pilihan Parlimen (Parliamentary Select Committee) secara rentas parti.

Katanya, mekanisme berkenaan membolehkan penelitian dibuat secara lebih menyeluruh termasuk aspek tadbir urus, pengurusan aset, keputusan pelaburan, kedudukan kewangan, kawalan dalaman serta langkah pemulihan yang telah dilaksanakan.

“Pada pandangan saya, tidak perlu RCI 2.0 sekiranya mekanisme pengawasan Parlimen boleh digunakan secara maksimum.

“Jawatankuasa Pilihan Parlimen boleh menjadi platform yang lebih berterusan untuk meneliti isu ini berdasarkan fakta dan dokumen, bukannya semata-mata berdasarkan sentimen politik,” katanya.

Dalam pada itu, Mustaffa berkata sebarang kelemahan dalam pengurusan TH perlu diperbetulkan dan sekiranya wujud unsur salah laku, pihak yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan kedudukan kewangan dan pengurusan TH kerana ia boleh memberi kesan terhadap keyakinan pendeposit.

“Tabung Haji bukan milik mana-mana parti politik. Ia adalah amanah umat Islam dan kepentingan pendeposit mesti mengatasi kepentingan politik.

“Kita mahu Tabung Haji terus diperkukuh, lebih telus, mempunyai tadbir urus yang baik dan kekal diyakini oleh umat Islam,” katanya.

Beliau berkata pendekatan terbaik ketika ini ialah mencari penyelesaian yang dapat memastikan Tabung Haji kekal kukuh dan mampu melaksanakan tanggungjawabnya kepada pendeposit serta bakal jemaah haji pada masa akan datang.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.