PUTRA ingatkan UMNO supaya pentingkan rakyat, bukan perut

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) negeri Kedah berharap Ahli Parlimen UMNO-BN mementingkan rakyat dan bukannya pentingkan “perut”.

Ketua Penyelarasnya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, situasi politik terkini memungkinkan dua keadaan.

Pertama katanya, kerajaan baru mungkin terbentuk hasil peralihan sokongan Ahli Parlimen Umno-BN kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemungkinan kedua ialah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan dalam masa terdekat.

“Ura-ura Ahli Parlimen Umno-BN akan menyokong Anwar Ibrahim bukan lagi andaian biasa. Berdasarkan situasi terkini kemungkinan besar ada dalam kalangan mereka akan melompat parti menyebabkan kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN) terbubar.

“Secara peribadi, saya lihat masalah ini berlaku kerana ada Ahli Parlimen Umno-BN pentingkan diri berbanding rakyat.

“Kumpulan yang mahu beralih sokongan seolah-olah mahu bebas daripada pertuduhan kes di mahkamah. Mungkin beberapa janji manis telah ditabur bagi tujuan itu,”katanya hari ini.

Beliau berkata, Ahli Parlimen kerajaan sedia ada sepatutnya terus menggalas tugas untuk rakyat dan negara hingga habis penggal.

“Tapi kelihatannya kita berdepan dengan satu lagi badai politik. Walaupun PN hanya ada majoriti tipis, tetapi jika tiada Ahli Parlimen kerajaan melayani permintaan, maka keruntuhan kerajaan tidak akan berlaku.

“Justeru, kami PUTRA mewakili rakyat Malaysia berharap Ahli Parlimen Umno-BN tidak bermain politik, tetapi teruskan bekerja,”katanya.

Dalam masa sama katanya, rakyat perlu bijak memastikan tiada Ahli Parlimen bermasalah di pilih pada PRU-15.

“Gunakan PRU-15 untuk tolak siapa sahaja Ahli Parlimen yang membuat kacau bilau kepada negara.

“Tunjukkan kepada mereka siapa “bos” yang sebenar. Negara akan aman sekiranya rakyat bijak memilih pemimpin,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.