Prestasi perdagangan luar bagi bulan Oktober 2020 dan tempoh Januari-Oktober 2020

Infografik

KUALA LUMPUR-Lebihan dagangan Malaysia pada Oktober 2020 meningkat kepada RM22.12 bilion, mencatatkan pertumbuhan dua digit 25.9% tahun ke tahun dan merupakan lebihan dagangan yang tertinggi pernah direkodkan bagi bulan Oktober.

Eksport bernilai RM91.05 bilion pada Oktober 2020, naik 0.2% berbanding Oktober 2019 dan merupakan nilai eksport ketiga tertinggi direkodkan setakat ini.

Peningkatan ini telah disokong oleh kenaikan eksport ke Amerika Syarikat (AS), China, India dan United Kingdom.

Import berjumlah RM68.93 bilion, berkurang 6% manakala jumlah perdagangan bernilai RM159.98 bilion, menyusut 2.5%.

Berbanding September 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang 2.6%, 2.4% dan 2.9%. Lebihan dagangan meningkat sebanyak 0.8%.

Bagi tempoh 10 bulan pertama tahun 2020, lebihan dagangan telah mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 16.3% kepada RM147.04 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

Jumlah perdagangan bernilai RM1.454 trilion, turun 4.9% Eksport berjumlah RM800.59 bilion, menyusut 3.3% manakala import bernilai RM653.55 bilion, berkurang 6.8%.

Barangan Perkilangan dan Keluaran Pertanian Menyumbang Kepada
Pertumbuhan Eksport Oktober

Eksport barangan perkilangan pada Oktober 2020 yang merangkumi 87.8% daripada jumlah eksport, berkembang 2.5% tahun ke tahun kepada RM79.94 bilion.

Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport keluaran getah, barangan elektrikal dan elektronik (E&E), barangan perkilangan lain terutamanya solid-state storage devices (SSD), barangan besi dan keluli serta barangan kayu.

Eksport keluaran pertanian (7.9% syer) melonjak 28.7% kepada RM7.17 bilion
berbanding Oktober 2019 disokong terutamanya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Eksport hasil galian (3.9% syer) menyusut 47.2% tahun ke tahun kepada RM3.58 bilion berikutan pengurangan eksport gas asli cecair (LNG), petroleum mentah serta petroleum kondensat dan minyak petroleum lain.

Barangan eksport utama pada Oktober 2020:

  •  Barangan E&E bernilai RM38.63 bilion dan merangkumi 42.4% daripada jumlah eksport, meningkat 3% berbanding Oktober 2019;
  • Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM5.47 bilion, 6% daripada jumlah eksport, meningkat 46.5%;
  • Keluaran getah, RM5.22 bilion, 5.7% daripada jumlah eksport, melonjak 127.3%;
  • Keluaran petroleum, RM4.33 bilion, 4.8% daripada jumlah eksport, berkurang 25.6%; dan
  •  Kimia dan bahan kimia, RM4.16 bilion, 4.6% daripada jumlah eksport, menyusut 16.1%.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing naik sebanyak 2.5% dan 9.5%, manakala eksport hasil galian menyusut 10.8%.

Pada tempoh 10 bulan pertama tahun 2020, eksport barangan perkilangan berkurang 1.1% kepada RM691.29 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019, berikutan pengurangan eksport kimia dan bahan kimia, keluaran petroleum serta barangan perkilangan logam.

Walau bagaimanapun, peningkatan eksport telah direkodkan bagi keluaran getah, barangan perkilangan lain (SSD), barangan besi dan keluli serta barangan optik dan saintifik.

Eksport keluaran pertanian meningkat 5% kepada RM57.68 bilion disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan
keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Eksport hasil galian turun 29.2% kepada
RM48.06 bilion disebabkan oleh penyusutan eksport LNG, petroleum mentah serta petroleum kondensat dan minyak petroleum lain.

Barangan E&E Imbangi Pengurangan Eksport ke ASEAN

Perdagangan dengan ASEAN pada Oktober 2020 yang merangkumi RM41.15 bilion atau 25.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia, berkurang 10.4% berbanding Oktober 2019.

Eksport menyusut 3.6% kepada RM25.73 bilion disebabkan oleh penurunan eksport petroleum mentah, keluaran petroleum dan barangan perkilangan
logam.

Pengurangan ini walau bagaimanapun telah diimbangi oleh kenaikan eksport
barangan E&E yang berkembang sebanyak 18.5% atau RM1.77 bilion. Import dari ASEAN menguncup 19.9% kepada RM15.42 bilion.Pecahan eksport ke negara ASEAN:

  •  Singapura RM14.19 bilion, meningkat 1.9%
  •  Thailand RM4.46 bilion, ↓9.1%
  • Viet Nam RM2.94 bilion, ↓3.8%
  •  Indonesia RM2.01 bilion, ↓24.6%
  • Filipina RM1.64 bilion, ↑0.6%
  • Brunei RM213.2 juta, ↑0.9%
  • Myanmar RM183.5 juta, ↑5.1%
  • Kemboja RM93.6 juta, ↓25.9%
  • Lao PDR RM7.0 juta, ↑149.3%

Eksport ke pasaran ASEAN yang mencatatkan pertumbuhan adalah Singapura, yang meningkat sebanyak RM261.6 juta disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, Filipina (↑RM9 juta, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit), Brunei (↑RM1.9 juta, barangan besi dan keluli), Myanmar (↑RM9 juta, LNG)
dan Lao PDR (↑RM4.2 juta, tekstil, pakaian dan kasut).

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan eksport masing-masing meningkat sebanyak 6.1% dan 11.4%, manakala import turun 1.7%.
Pada tempoh Januari hingga Oktober 2020, perdagangan dengan ASEAN bernilai RM365.85 bilion, berkurang 10.5% berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

Eksport ke rantau ini menurun 6.1% kepada RM223.72 bilion berikutan penyusutan eksport petroleum mentah, barangan perkilangan logam serta kimia dan bahan kimia.

Peningkatan eksport walau bagaimanapun telah direkodkan bagi barangan E&E,kelengkapan pengangkutan serta barangan perkilangan lain (SSD).

Import dari ASEAN berkurang 16.7% kepada RM142.13 bilion.

Momentum Pertumbuhan Eksport ke China Terus Kekal

Perdagangan dengan China pada Oktober 2020 meningkat 5.4% tahun ke tahun
kepada RM28.97 bilion, merangkumi 18.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia.
Eksport ke China berkembang 4.9% kepada RM14.27 bilion berikutan terutamanya
oleh kenaikan eksport barangan E&E, barangan besi dan keluli, barangan perkilangan
lain (SSD), barangan perkilangan logam serta keluaran getah. Import dari China naik
5.9% kepada RM14.7 bilion.
Berbanding September 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing
berkurang sebanyak 6.1%, 8.3% dan 3.9%.

 

 

 

 

 

Eksport ke China berkembang 4.9% kepada RM14.27 bilion berikutan terutamanya oleh kenaikan eksport barangan E&E, barangan besi dan keluli, barangan perkilangan lain (SSD), barangan perkilangan logam serta keluaran getah.

Import dari China naik 5.9% kepada RM14.7 bilion.

Berbanding September 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkurang sebanyak 6.1%, 8.3% dan 3.9%.

Perdagangan dengan China pada tempoh Januari hingga Oktober 2020 naik
sebanyak 3.2% kepada RM266.12 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

Eksport merekodkan kenaikan dua digit 12.3% kepada RM128.81 bilion, disokong
oleh pertambahan eksport barangan besi dan keluli, barangan perkilangan lain (SSD), barangan perkilangan logam serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Import dari China berjumlah RM137.31 bilion, turun 4.1%.

Pertumbuhan Dua Digit Eksport bagi Lima Bulan berturut-turut ke AS

Pada Oktober 2020, perdagangan dengan AS menyumbang 10.7% kepada jumlah
perdagangan Malaysia, merekodkan pertumbuhan 12.7% tahun ke tahun kepada RM17.13 bilion. Eksport ke AS telah merekodkan pertumbuhan dua digit selama lima bulan berturut-turut, berkembang sebanyak 25.6% kepada RM11.23 bilion pada Oktober 2020.

Pertumbuhan eksport direkodkan bagi keluaran getah, barangan E&E, barangan kayu, jentera, kelengkapan dan peralatan serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Import dari AS menguncup 5.7% kepada RM5.9 bilion.

Berbanding September 2020, kesemua perdagangan, eksport dan import meningkat sebanyak 8.8%.

Pada 10 bulan pertama tahun 2020, perdagangan dengan AS naik 7.5% kepada RM146.38 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

Eksport meningkat 10.9% kepada RM88.32 bilion dipacu oleh kenaikan eksport keluaran getah, barangan kayu, barangan perkilangan lain (SSD), barangan E&E serta jentera,
kelengkapan dan peralatan.

Import dari AS naik 2.7% kepada RM58.06 bilion.

Pertumbuhan Eksport bagi Dua Bulan berturut-turut ke EU

Perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang merangkumi 8.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Oktober 2020, menyusut 0.3% tahun ke tahun kepada RM13 bilion.

Eksport terus mencatatkan kenaikan bagi dua bulan berturut-turut, tumbuh 4.7% kepada RM7.77 bilion disokong oleh kenaikan eksport keluaran getah serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Import dari EU turun sebanyak 6.8% kepada RM5.23 bilion.

Di antara 10 pasaran utama EU yang merangkumi 90.2% daripada jumlah eksport Malaysia ke EU, eksport ke sembilan negara mencatatkan peningkatan iaitu Jerman (↑3.9%), Perancis (↑0.4%), Belgium (↑27.3%), Itali (↑4%), Sepanyol(↑7.5%),Slovenia (↑195%), Hungary (↑8.3%), Poland (↑43.5%) dan Republik Czech(↑16.1%).

Berbanding September 2020, perdagangan dan eksport masing-masing susut sebanyak 3.4% dan 10%, manakala import berkembang 8.5%.

Pada 10 bulan pertama tahun 2020, perdagangan dengan EU berjumlah RM118.15 bilion, berkurang 11.9% berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

Eksport bernilai RM69.34 bilion, turun 7% disebabkan oleh pengurangan eksport barangan E&E.

Walau bagaimanapun, kenaikan eksport telah direkodkan bagi keluaran getah serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Import dari EU berjumlah RM48.81 bilion, susut 18.1%.

Eksport Barangan Perkilangan ke Jepun Terus Meningkat

Pada Oktober 2020, perdagangan dengan Jepun yang mewakili 6.8% daripada
jumlah perdagangan Malaysia berkurang 2.5% tahun ke tahun kepada RM10.82
bilion. Eksport menguncup 6% kepada RM5.17 bilion disebabkan terutamanya oleh pengurangan eksport LNG.

Eksport barangan perkilangan walau bagaimanapun terus mencatatkan pertumbuhan bagi dua bulan berturut-turut pada Oktober 2020, naik 6.9% kepada RM4.04 bilion disumbangkan oleh kenaikan eksport keluaran getah,
keluaran petroleum serta barangan E&E. Import dari Jepun meningkat 0.9% kepada RM5.65 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing tumbuh sebanyak 6.6%, 8.7% dan 4.7%.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020, perdagangan dengan Jepun susut 7% kepada RM99.73 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Eksport
berkurang 9.4% kepada RM50.31 bilion berikutan penurunan eksport LNG.

Walau bagaimanapun, kenaikan eksport telah dicatatkan bagi petroleum mentah, keluaran getah, barangan optik dan saintifik serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Import dari Jepun turun 4.5% kepada RM49.42 bilion.

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA

Pada Oktober 2020, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan
Bebas (FTA) yang merangkumi 65.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia
bernilai RM105.12 bilion, berkurang 5.4% tahun ke tahun. Eksport ke negara rakan dagang FTA bernilai RM60.68 bilion, menyusut 2.4% manakala import menyusut 9.2% kepada RM44.43 bilion.

Kenaikan eksport direkodkan ke India, sebanyak 17.6% kepada RM3.14 bilion
disumbangkan oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian
berasaskan minyak sawit, Australia (↑6.4% kepada RM2.09 bilion, petroleum
mentah), Turki (↑11.4% kepada RM629.5 juta, keluaran getah), Pakistan (↑7.8%
kepada RM432.2 juta, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit) dan Chile (↑21.3% kepada RM63.4 juta, keluaran getah).

Berbanding September 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 1.5%, 2.4% dan 0.2%.

Perdagangan dengan rakan dagang FTA bagi tempoh 10 bulan pertama 2020 yang
merangkumi 66.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia menyusut 5.2% kepada RM965.71 bilion. Eksport bernilai RM543.96 bilion, berkurang 3.5% manakala import berjumlah RM421.75 bilion, turun 7.3%.

Prestasi Import
Import pada bulan Oktober 2020 menurun 6% tahun ke tahun kepada RM68.93 bilion berbanding RM73.29 bilion pada Oktober 2019. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 70.8% daripada jumlah keseluruhan import
adalah:

  •  Barang pengantara, berjumlah RM35.27 bilion atau 51.2% syer daripada jumlah import, berkurang 6.1%, berikutan penyusutan import bekalan perindustrian diproses, terutamanya nikel dan artikel;
  •  Barang modal, bernilai RM7.02 bilion atau 10.2% daripada jumlah import, menyusut 17.1%, disebabkan oleh pengurangan import barang modal (kecuali
    kelengkapan pengangkutan), khasnya jentera dan kelengkapan elektrik serta alat ganti.
  • Barang penggunaan, berjumlah RM6.53 bilion atau 9.5% daripada jumlah import, meningkat 6.5%, hasil kenaikan import kelengkapan pengangkutan bukan perindustrian.

Pada tempoh Januari hingga Oktober 2020, import berjumlah RM653.55 bilion, berkurang 6.8% berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

Import barang pengantara bernilai RM346.41 bilion, menyusut 9.9%, barang modal (RM74.57 bilion, ↓8.8%) dan barang penggunaan (RM60.8 bilion, ↑0.4%).

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.