Belanjawan lulus, PM berterima kasih kepada semua menyokong

Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang menyokong

KUALA LUMPUR– Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen khususnya daripada Perikatan Nasional (PN) yang menyokong Belanjawan 2021.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Belanjawan 2021 telah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli Parlimen terutamanya Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menyokong Belanjawan 2021 sehingga diluluskan di peringkat dasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, sokongan diterima membuktikan kematangan Ahli-ahli Parlimen.

Menurutnya, mereka membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara-perkara lain.

“Belanjawan 2021 merupakan belanjawan terbesar dan sangat penting kepada negara dan sokongan ini membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar.

“Ini membuktikan Kerajaan PN amat prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan amat responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih serta menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat pandemik Covid- 19,”katanya.

Muhyiddin berkata, beliau tersentuh dengan pendirian Ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan.

“Ini sekali gus membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu ahli-ahli politik mengetepikan sementara ‘politiking’ bagi membolehkan belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergelut dengan ancaman Covid-19.

“Saya juga ucapkan tahniah kepada YB Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan yang telah bertungkus-lumus menyiapkan penggulungan Belanjawan 2021 dengan beberapa penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Muhyiddin berkata, penambahbaikan dilakukan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 ini dijalankan.

“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang sentiasa bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan, teguran dan kritikan.

“Semoga Belanjawan 2021 ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara,” katanya.

Pada Dewan Rakyat siang tadi, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 diluluskan suara majoriti.

Cubaan untuk mencadangkan undian belah bahagi tidak kesampaian apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mendapati  hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun untuk menyokong usul tersebut.

Mengikut peraturan, usul belah bahagi memerlukan sokongan 15 ahli dewan.

Antara yang cuba menghalang Belanjawan diluluskan adalah Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan rakan-rakannya dari Parti Amanah Negara.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.