UMNO hanya berani mulut dengan DAP, bukan tindakan

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Pengerusi Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Seri Mustafa Idrus menegaskan bahawa pendirian kepimpinan UMNO untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan jelas membuktikan parti itu kini lebih mengutamakan kelangsungan kuasa berbanding prinsip perjuangan asal.

Beliau berkata, UMNO hari ini bukan sahaja gagal menunjukkan keberanian politik, malah dilihat selesa berada dalam kerajaan walaupun tanpa kuasa sebenar untuk menentukan hala tuju pentadbiran negara.

Menurutnya, kenyataan demi kenyataan pemimpin tertinggi UMNO sendiri mendedahkan hakikat bahawa parti itu kekal dalam kerajaan kerana sedar mereka tidak lagi menjadi penentu.

Dato’ Seri Mustafa merujuk laporan Harapan Daily yang memetik kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, yang menegaskan bahawa tiada sebarang faedah untuk UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang.

Dalam laporan itu, Ahmad Maslan dipetik berkata bahawa walaupun UMNO menarik sokongan, Kerajaan Perpaduan masih memiliki majoriti selesa di Parlimen untuk terus mentadbir negara.

“Kalau kita keluar (daripada Kerajaan Perpaduan) pun, 153 (kerusi Parlimen) tolak 30, (tinggal) 123 (kerusi Parlimen),” menurut kenyataan beliau seperti dilaporkan portal berkenaan.

Dato’ Seri Mustafa berkata, kenyataan tersebut merupakan pengakuan terbuka bahawa UMNO sedar kedudukan mereka tidak lagi signifikan dan sekadar menjadi pelengkap dalam kerajaan tanpa kuasa tawar-menawar yang kuat.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO juga tidak berani memutuskan hubungan politik dengan DAP, walaupun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kekal dipenjarakan dan masih belum diberikan tahanan di rumah.

Menurut beliau, perkara itu menjadi lebih serius apabila wujud dakwaan bahawa terdapat titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah, namun sehingga kini tidak dilaksanakan.

“Saya berpandangan semua penyokong UMNO dan pemerhati menghormati keputusan mahkamah, tetapi di sebalik itu, semua orang sedang melihat prinsip sedang digadaikan UMNO dengan masih kekal bersama DAP.

“Ketika pemimpin DAP membuat sindiran terhadap keputusan Najib kekal dipenjarakan, pemimpin UMNO hanya berani bermain mulut, bukannya berani dengan tindakan.

“UMNO memilih untuk terus berdiam diri dan menjaga hubungan politik dengan DAP serta rakan sekutu kerajaan, walaupun isu melibatkan pemimpin utama parti sendiri tidak diselesaikan,” katanya.

Beliau menambah, sikap tersebut menunjukkan UMNO sanggup berkompromi dalam isu besar demi mengekalkan kedudukan dalam kerajaan, sekali gus mengecewakan penyokong yang mengharapkan ketegasan dan keberanian politik.

Dato’ Seri Mustafa berkata, keadaan ini bukan sahaja merugikan UMNO dari sudut sokongan rakyat, malah berbahaya kepada parti kerana pergantungan kepada kuasa politik tanpa prinsip hanya akan mempercepatkan penolakan rakyat.

Katanya, kerjasama berterusan UMNO dengan DAP yang sebelum ini sering digambarkan sebagai bertentangan dengan agenda Melayu dan Islam membuktikan bahawa prinsip parti kini boleh berubah mengikut kepentingan politik semasa.

PAMM Negeri Kedah menyeru rakyat agar menilai secara kritikal pendirian dan tindakan UMNO hari ini, kerana masa depan negara tidak boleh disandarkan kepada parti yang takut membuat keputusan berprinsip walaupun melibatkan maruah dan keadilan.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.