Kakitangan hospital rayu rakyat Malaysia jangan ke luar negara

KUALA LUMPUR-Sikap sebilangan rakyat Malaysia yang masih melancong ke luar negara ketika penularan COVID-19 mengundang kebimbangan ramai di negara ini.

Walaupun Pertubuhan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, ia nampaknya tidak membimbangkan “kaki” travel.

Mereka seoalah-olah tidak mengambil langkah berjaga-jaga walaupun tindakan bercuti di luar negara mendatangkan mudarat besar kepada orang lain.

Sebaliknya, sebilangan manusia yang “degil” ini mengambil peluang melancong ketika COVID-19 sedang melanda seluruh dunia dengan menyambar tiket murah yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan.

Penularan COVID-19 lebih dasyat

Kesal dengan sikap kelompok tidak prihatin ini, seorang kakitangan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Anie Farhana berkongsi di Facebook mengapa COVID-19 tidak boleh dipandang ringan.

“Tatkala cuti pegawai kesihatan dibekukan kerana COVID-19, ada sekumpulan manusia yang masih berdegil nak bercuti ke luar negara padahal tahu di sana banyak kes COVID-19 19 dan penularannya lebih dasyat,”tulisnya di Facebook kelmarin.

Anie berkata, tanggapan yang salah apabila ada yang berfikir boleh mendapatkan rawatan sekiranya mengalami sebarang simptom jangkitan.

“Kalau anda berfikir, “ala, balik dari sana, kalau ada batuk selsema pergi je lah hospital untuk pemeriksaan. Oh itu memang ucapan yang sangat pentingkan diri, ia tak semudah itu kawan.

“Contact screening” memerlukan tenaga pegawai kesihatan yang banyak. Alat pelindung diri (topeng muka, sarung tangan, baju khas) bukannya murah.

“Kalau anda seorang kena, semua orang yang pernah jumpa anda perlu dicari dan dicek seorang demi seorang,”katanya.

Perkhidmatan elektif diberhentikan

Anie berkata, pekerja-pekerja di hospital juga bakal menanggung beban sekiranya pesakit enggan memberikan kerjasama.

Perkongsian Anie di Facebook

“Jika ditakdirkan waktu anda mula-mula datang ke hospital tanpa beritahu sejarah perjalanan anda, anda mungkin mendedahkan pekerja- di hospital kepada jangkitan itu.

“Apa kesannya? Kesemua pekerja itu perlu dicutikan. Jadi apa jadi kepada para pekerja kesihatan yang terpaksa dicutikan? Perlulah pegawai kesihatan dari department lain atau hospital lain dipanggil untuk mengisi kekosongan itu,”katanya.

Tambahnya, perkhidmatan elektif diberhentikan buat seketika waktu gara-gara wabak tersebut.

“Kini, hospital yg menerima kes COVID-19 telah mula memberhentikan perkhidmatan elektif kerana nak memaksimakan sumber manusia dan wang utk menghadapi “serangan COVID-19”.

“Doktor-doktor dari bidang lain dikerah bersama-sama dengan “frontliners” di jabatan kecemasan.

“Anda faham apa itu perkhidmatan elektif? Maksudnya pembedahan/ rawatan yang dikategorikan sebagai bukan “life threatening” semua nya akan diberhentikan,”katanya.

Anie turut memberikan contoh apa itu rawatan elektif.

“Kalau bidang Rehabilitation Medicine (perubatan pemulihan) – pesakit strok yang sepatutnya dimasukkan untuk rawatan pemulihan intensif.

“Untuk pulihkan lemah separuh badannya, terpaksa ditangguhkan. Maka mereka mungkin terlepas masa keemasan untuk pulihkan fungsi mereka,”katanya.

Katanya, pesakit lumpuh akibat cedera saraf tunjang juga bakal hadapi masalah yang sama.

“Mungkin sepatutnya kami admit untuk ajar mereka guna kerusi roda, atau ajar uruskan sistem buang air besar/kecil mereka (yang terjejas akibat cedera saraf tunjang).

“Bila rawatan ini akan dikategorikan sebagai emergency? Bila mereka ada komplikasi sebab kurang bergerak seperti pulmonary embolism (darah beku dalam peparu) atau pesakit strok dapat aspiration pneumonia (jangkitan kuman paru paru kerana tersedak makanan).

“Atau mereka dapat serangan strok kedua sbb proses pemulihan terjejas. Kenapa? Sebab anda nak pergi bercuti.,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.