PAS kekal setiakawan, tolak pembentukan kerajaan Perak baru

KUALA LUMPUR-PAS kekal dengan pendirian dan semangat setiakawan apabila menolak kerjasama untuk membentuk kerajaan baru Perak.

Setiausa Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu selaras dengan tiga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang menyokong usul percaya terhadap Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar.

“PAS mengambil maklum usul keyakinan majoriti Ahli Dewan Undangan terhadap YAB Menteri Besar yang berlangsung dalam Dewan Undangan Negeri PAS Perak di mana tiga ADUN PAS menyokongnya selaras dengan keputusan Lajnah Politik PAS Pusat.

“Maka selaras dengan keputusan tersebut, PAS Pusat telah membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan Perak yang baru,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PAS bagaimanapun tetap akan terus berperanan seperti biasa di peringkat negeri mahupun nasional.

Usul keyakinan majoriti Ahli Dewan Undangan terhadap Faizal pada pagi tadi berakhir dengan hanya 10 ADUN menyokongnya iaitu masing-masing daripada PAS, Bersatu dan Bebas.

Untuk rekod UMNO mempunyai bilangan kerusi tertinggi dalam DUN Perak iaitu 25 kerusi, diikuti DAP (15), Bersatu (6), Amanah (5), PAS dan PKR masing-masing tiga kerusi dan Bebas satu kerusi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.