KUPANG– Sebagai tanda syukur, ADUN Kupang, Brigadier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad memulakan tugas lapangan sebagai Exco Agama dengan menyembelih seekor lembu di Kampung Sirako hari ini.
Najmi berkata, pelantikan beliau sebagai Exco bagi portfolio Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia pada 20 Mei lalu merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan sebaiknya.
Menurutnya, beliau berharap dengan baki tiga tahun yang masih ada dapat digunakan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri Kedah.
“Lembu yang disembelih pagi tadi merupakan sumbangan daripada Menteri Besar Kedah yang diagihkan kepada setiap DUN.
“Pada sebelah petang kita agihkan pula agihan daging kerbau yang disumbangkan oleh NGO iaitu Geng Ustaz kepada masyarakat sekitar,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Beliau berkata, tugas-tugas menyembelih lembu sudah sebati dengannya sejak berada dalam tentera dan pengalaman itu membantunya berdepan dengan setiap lapisan masyarakat.
“Dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) perkara sebegini menjadi satu rutin biasa. Banyak perkara dipelajari oleh seorang Pegawai Kagat.
“Apabila masuk KAGAT, seseorang itu perlu memegang kapur tulis, pisau sembelih lembu, pegang senapang, pegang tongkat khutbah, dan pegang mayat.
“Boleh laksanakan semua perkara-perkara ini seorang Pegawai KAGAT boleh bekerja dalam tentera dengan baik. Alhamdulillah semua pengalaman ini sangat berguna,”katanya.
Rentas7.com
Leave a Reply