Padah guna pukat jerut, 13 nelayan ditahan

Bot peronda yang sedang melaksanakan OP Pintas telah mengesan sebuah bot di dalam keadaan mencurigakan di sekitar perairan Pulau Pangkor.

LUMUT– Gara-gara menangkap ikan menggunakan pukat jerut, seramai 13 nelayan ditahan pada kedudukan 0.4 batu nautika selatan Teluk Sekadeh.

Kesemua nelayan tempatan berusia 18 hingga 75 tahun itu ditahan pada jam 6.00 petang, 26 Mac lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot dinaiki semua kru terbabit telah melanggar syarat sah lesen.

“Bot peronda yang sedang melaksanakan OP Pintas telah mengesan sebuah bot di dalam keadaan mencurigakan di sekitar perairan Pulau Pangkor.

“Bot dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan di bawah 3.0 batu nautika dengan menggunakan pukat jerut sebagai alat penangkapan ikan,”katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati 13 kru termasuk tekong warga Malaysia telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Tekong dan kru bersama bot diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Setiawan Perak bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“Penahanan ini membuktikan bahawa Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang – undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP),”katanya.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.