Operasi Gempur inisiatif baru JAS pelihara Alam sekitar

Sebanyak 118 buah kilang diperiksa di seluruh Selangor oleh JAS baru-baru ini

PUTRAJAYA – Operasi Gempur (Ops Gempur) adalah salah satu inisiatif Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang telah mula dijalankan pada tahun ini bertujuan untuk mempertingkatkan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

Penguatkuasaan dibuat ke atas industri dan punca pencemar yang berisiko menyebabkan pencemaran alam sekitar, antaranya kilang-kilang yang dilesenkan oleh JAS yang terletak di hulu takat pengambilan air, menghasilkan beban pencemar yang tinggi, sering diadu atau sering dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Ops Gempur Selangor 2020 pada kali ini dilaksanakan secara berperingkat pada 16, 18 dan 23 Jun 2020 dengan memfokuskan pemeriksaan kepada 118 kilang di kawasan Sepang, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak dan Hulu Selangor.

Antara premis kilang yang digempur JAS dalam usaha menjaga Sumber alam sekitar

Operasi yang melibatkan 125 anggota penguatkuasa JAS dari JAS Negeri Selangor, JAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan JAS Ibu Pejabat
Putrajaya ini dilaksanakan untuk mencegah berlakunya kejadian pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada operasi pengilangan dari pelbagai jenis industri termasuk industri plastik, industri kimia, pengilangan logam, industri berasaskan getah, industri kertas, makanan dan minuman, tekstil, percetakan serta elektrik dan elektronik.

Operasi tersebut juga bertujuan untuk membanteras kes-kes pelupusan haram buangan terjadual dan pelepasan air buangan tidak terawat oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab susulan penghentian operasi pengilangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

JAS telah mengambil tindakan tegas ke atas 49 kilang yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

49 kilang yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya

Dalam hal ini, 124 tindakan penguatkuasaan telah diambil di bawah perundangan tersebut yang merangkumi 22 Notis Arahan, 97 Tawaran Kompaun, 3 Penahanan Operasi Kelengkapan dikenakan serta 2 Kertas Siasatan dibuka untuk tindakan mahkamah.

Operasi ini dijalankan dengan mematuhi Prosedur Tetap Operasi (SOP),arahan dan langkah-langkah keselamatan serta kesihatan yang dikeluarkan masing- masing oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JAS.

Ini adalah penting bagi memastikan usaha kerajaan ke arah membendung penularan wabak Covid-19 di Negara berjaya dilaksanakan.

Pelaksanaan Ops Gempur ini juga akan terus dilaksanakan oleh JAS di peringkat Negeri dan mengikut zon di seluruh Malaysia.

JAS amat komited dalam meneruskan penguatkuasaan dan pemantauan alam
sekitar bagi memastikan kualiti alam sekitar tidak terjejas demi kesejahteraan rakyat.

Pelaksanaan Ops Gempur ini juga akan terus dilaksanakan oleh JAS di seluruh negara ini

Semua pihak termasuk industri dan masyarakat awam perlu memainkan
peranan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam
bersama-sama memastikan kualiti alam sekitar sentiasa terpelihara.

Adalah diharapkan konsep “Pemuliharaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama” dapat kita terapkan dalam minda dan dibudayakan dalam kehidupan seharian seluruh lapisan masyarakat.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian
bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Rentas7.com

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.