Azmeer umum tinggalkan Kedah FA

ALOR SETAR– Pemain pertahanan Lang Merah, Azmeer Yusof mengumumkan pengunduran diri daripada pasukan Kedah FA.

Jelas pemain berusia 30 tahun itu, keputusan tersebut dibuat bagi memberikan tumpuan kepada perniagaannya.

“Dengan ini saya mengumumkan pengunduran saya dari pasukan Kedah FA. Keputusan ini bukanlah kerana masalah gaji, tetapi kerana saya ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan saya.

“Saya doakan yang terbaik buat pasukan Kedah FA. Semoga terus mencipta kejayaan-kejayaan di masa akan datang,”katanya yang dikongsi di Facebook Azmeer Yusof 25 malam.

Berita sedih buat penyokong Kedah itu turut dikongsi oleh pelbagai halaman sukan di Facebook.

Azmeer turut memohon maaf kepada semua seandainya kehadirannya ke bumi Kedah tidak dialu-alukan.

“Kepada semua penyokong bolasepak Kedah FA, teruskan memberi sokongan kepada pasukan Kedah. Tanpa kalian, bola sepak tiada erti.

“Maafkan saya, saya akan sentiasa rindukan sorakan kalian. Kepada penyokong bolasepak Kedah, saya bukan bekas pemain Kedah dan saya bukan Legend anda. Tapi saya adalah sahabat kalian,”katanya.

Azmeer berkata, dia berharap impiannya membina sebuah pusat pengajian Islam tercapai.

“Doakan segala urusan saya untuk bina Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof di Alor Setar tercapai dengan izin Allah,”katanya.

Pemain kental Hijau Kuning itu turut menitipkan pesanan kepada semua yang beragama Islam supaya jangan sesekali meninggalkan solat lima waktu.

“Dan jangan sesekali tinggalkan solat lims waktu. Kerana itu soalan pertama Allah pada kita di Alam sana nanti. Maafkan saya dengan keputusan ini,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.