Hanya pelajar sihat dibenarkan hadir ke sekolah

Dr. Radzi Jidin

KUALA LUMPUR– Hanya pelajar yang sihat dibenarkan hadir ke sekolah apabila sesi persekolahan pada 24 Jun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin berkata, ibu bapa juga perlu memastikan anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah.

Selain itu katanya, antara perkara penting yang perlu sentiasa diberi perhatian adalah amalan penjarakan sosial dan kerap membasuh tangan.

“Kerjasama erat ibu bapa, guru, murid dan warga sekolah amat penting bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di sekolah dapat dilaksana dalam keadaan selamat.

“Seperti yang saya sebut tadi, kata seorang dibulati, kata bersama diperiakan. Begitulah peri pentingnya kesepakatan dalam melaksanakan sesuatu dalam kalangan masyarakat,”katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, Dr. Radzi pada sidang media siang tadi mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka semula pada hari Rabu, 24 Jun 2020.

Sebagai permulaan, hanya murid kelas peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang setara akan hadir.

Beliau berkata, kesihatan dan keselamatan pelajar menjadi fokus utama pihak Kementerian Pendidikan.

“Kami di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yakin dengan pematuhan kepada SOP yang disediakan oleh KPM bersama-sama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), sekolah akan dapat beroperasi semula dalam keadaan selamat,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.