Malaysia, Vietnam sepakat cari vaksin COVID-19

Muhyiddin Yassin sedang berbual bersama Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc petang tadi

KUALA LUMPUR-Malaysia dan Vietnam sepakat dalam kerjasama mencari penawar kepada wabak COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian selepas dihubungi Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc pada petang tadi.

Menurutnya, perbualan mereka tertumpu kepada bagaimana kedua-dua negara boleh bekerjasama dalam mendepani cabaran semasa dan selepas penularan COVID-19.

“Kami berkongsi pengalaman mengenai langkah-langkah yang diambil kedua-dua negara dalam mengawal penularan pendemik itu, di mana setakat ini pendekatan tersebut berhasil.

“Kami juga sepakat kedua-dua negara perlu meningkatkan kerjasama dalam sektor kesihatan terutama dalam penghasilan vaksin dan ubat-ubatan untuk COVID-19,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, Malaysia menghargai sokongan yang diberikan Vietnam dalam urusan penghantaran pulang 526 rakyat Malaysia sejak 26 Mac lepas.

“Pada 10 Mei lepas, Malaysia juga telah membantu menghantar pulang 276 warga Vietnam,”katanya.

Dalam perbualan itu, Muhyiddin berkata, beliau turut menyatakan sokongan penuh Malaysia terhadap Vietnam selaku Pengerusi ASEAN 2020.

Menurutnya, rakan sejawatnya itu diyakini mampu memainkan peranan proaktif dalam memimpin tindak balas ASEAN terhadap pencegahan wabak COVID-19.

“Selain memperkukuh hubungan dua hala, kami juga komited untuk memperluas bidang kerjasama meliputi ekonomi, perdagangan, pertanian dan pendidikan untuk kepentingan bersama.

“Saya akhiri perbualan dengan menyarankan Tuan Yang Terutama Nguyen Xuan Phuc supaya Vietnam selaku Pengerusi ASEAN 2020 dapat memainkan peranan lebih besar dalam membantu Myanmar menangani isu pelarian Rohingya yang turut menjejaskan Malaysia,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.