Hilang kepercayaan, Mukhriz patut letak jawatan secara bermaruah

Mansor Zakaria

ALOR SETAR– Datuk Seri Mukhriz Mahathir sepatutnya meletakkan jawatan secara bermaruah selepas hilang kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, seorang Menteri Besar sewajarnya mempunyai rasa tanggungjawab dan maruah diri untuk berbuat demikian.

Menurutnya, Mukhriz masih menjadi Menteri Besar hanyalah berdasarkan teknikal memandangkan belum ada lantikan Menteri Besar baharu daripada Sultan.

“Tetapi kita ingin tegaskan di sini, seorang Menteri Besar seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab dan maruah pada dirinya.

“Jika dia (Mukhriz) berkekalan begitu, rasa masih lagi Menteri Besar sedangkan orang di sekelilingnya sudah tiada, bagaimana untuk dia bekerja?,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Mansor berkata, Menteri Besar yang menguruskan sesebuah negeri perlulah bekerja dengan sokongan kuat ADUN dan Exco.

Tanpa mereka katanya, Mukhriz tidak dapat mentadbir Kedah dengan lancar malah bakal memberikan kesan buruk kepada pemerintahan negeri.

“Jika seorang Menteri Besar ketiadaan ADUN atau Exco kerana hilang kepercayaan sehinggakan pentadbiran pun hilang arah, bagaimana beliau mahu memberikan sepenuhnya fokus kepada tugasnya?

“Maka secara terhormat, Menteri Besar yang tidak mendapat lagi kepercayaan perlulah meletakan jawatan,”katanya.

Mansor berkata, Perikatan Nasional (PN) kini mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

“Kita kena ingat, sejarah PRU-14 sewaktu Pakatan Harapan (PH) mengambil pentadbiran Kedah, mereka hanya 18 kerusi.

“Waktu itu PAS dan UMNO juga mempunyai 18 kerusi, katanya.

Jelasnya, dengan jumlah kerusi yang sama banyak PH waktu itu dipilih atas perkenan dan pertimbangan Sultan.

Beliau berkata, dalam situasi sekarang, PN mempunyai lebih daripada 19 kerusi iaitu satu jumlah yang melebihi majoriti mudah.

“Ini bermakna kita mendapat lebih kepercayaan oleh ADUN-ADUN lain untuk membentuk kerajaan negeri.

“Mukhriz perlu memahami bahawa bukan Exco atau ADUN daripada kemnya melompat parti, tetapi mereka secara rasionalnya merasakan kerajaan negeri perlulah sama dengan kerajaan Pusat,”katanya.

Mansor berkata, keengganan Mukhriz bekerjasama dengan PN sebaliknya mahu terus bersama PH mengundang masalah kepada pentadbirannya sendiri, walhal Bersatu turut menjadi kompenan kepada PN.

“Kerana beliau berlawan arus, maka berlakulah seperti hari ini. Sebab dan punca ADUN dan Exco hilang kepercayaan terhadap pemerintahan Mukhriz kerana tindakannya sendiri,”katanya.

Mansor menegaskan, pembangkang tidak sesekali menjadi penyebab kepada kejatuhan PH Kedah apatah lagi merampas atau membentuk kerajaan secara pintu belakang.

Sebaliknya katanya, pendirian pembangkang jelas iaitu hanya menunggu (peralihan kuasa), tidak gelojoh malah tidak menggangu siapa-siapa.

“Walaupun dalam sidang media mengatakan pembangkang gelojoh tanpa fikir COVID-19 dan sebagainya, bukan itu isunya.

“Isunya ialah pada hari ini, sejarah itu berlaku sekarang. Bukan kita pergi kacau, serang atau “hunggah” Wisma Darul Aman, tidak!

“Sebagai ADUN Kuala Ketil saya ingin menyatakan PN pada masa ini telah layak mentadbir kerajaan negeri dan menafikan PH. Insha ALLAH kita mampu mentadbir lebih baik,”katanya.

Mansor berkata, pelantikan Menteri Besar baru akan dibuat dalam masa terdekat dan rakyat diminta bersabar.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.