Kontinjen MALBATT 850-12 berlepas ke Lubnan

Kontinjen MALBATT 850-12 berlepas ke Lubnan semalam

 

SUBANG-Timbalan Menteri Pertahanan, YB Haji Adly Zahari telah menyempurnakan Majlis Penghantaran Kumpulan Keempat Kontinjen Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 di 16 Skuadron, Pangkalan Udara Subang, semalam.

Kumpulan keempat kontinjen MALBATT 850-12 diketuai oleh Timbalan Komander MALBATT 850-12, Leftenan Kolonel Firdaus bin Shah Budin dengan kekuatan seramai 209 anggota, terdiri daripada 7 pegawai dan 202 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

Kontinjen MALBATT 850-12 secara keseluruhannya berkekuatan 854 anggota, terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota LLP, termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan Awam dari Kementerian Pertahanan.

Atur gerak Kontinjen MALBATT 850-12 telah dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan penghantaran kumpulan pertama pada 6 November 2024 sehingga penerimaan kumpulan terakhir kontinjen MALBATT 850-11 pada 20 November 2024 menggunakan pesawat BATIK AIR.

Pertukaran ini dilakukan kerana tempoh penugasan kontinjen MALBATT 850-11 telah tamat dan memerlukan penggantian kontinjen MALBATT 850-12.

Pertukaran ini juga selaras dengan ketetapan Force Commander Pasukan Interim Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang turut melibatkan semua negara yang menyertai UNIFIL dengan mengambilkira semua faktor dan situasi semasa. Bagi memastikan kelancaran misi, semua anggota kontinjen MALBATT 850-12 telah menjalani latihan intensif, selain persiapan mental dan fizikal sebelum diaturgerakkan.

Penglibatan MALBATT di bawah UNIFIL bukan sahaja melambangkan sokongan berterusan Malaysia terhadap usaha pengaman PBB, tetapi juga memperlihatkan peranan proaktif negara ini dalam mempromosikan kestabilan dan keselamatan antarabangsa melalui pendekatan diplomatik serta penyelesaian konflik secara aman.

RENTAS7/ FOTO: My Joint Force

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.