Operasi cari penyelam hilang diteruskan

Dua Kapal Maritim digerakkan dalam operasi ini

PELABUHAN KLANG– Operasi mencari seorang penyelam yang hilang di perairan Pulau Selat Kering semalam masih diteruskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, dua Kapal Maritim (KM) Danga dan Bot Kilat digerakkan dalam operasi Cari Alamat yang dikoordinasi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru yang disambung jam tujuh pagi tadi.

Menurutnya, usaha-usaha pencarian sebelum itu cuba dilakukan oleh rakan-rakan mangsa, namun bot yang mereka naiki telah mengalami kerosakan.

“Setiba di lokasi kejadian, Maritim Malaysia menemui bot mereka di tepi pantai Pulau Ketam namun tidak dapat merapat berikutan keadaan air yang surut.

“Kira-kira jam 6.20 petang semalam, bot mangsa RSYC 621 berjaya dibaiki oleh bot daripada Royal Yacth Club dan dibawa pulang ke Jeti Yacth Club.

“Sehingga kini, Maritim Malaysia masih meneruskan usaha pencarian mangsa,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Mangsa dikenali Doakan berusia 45, warga tempatan hilang ketika melakukan aktiviti penyelaman pada jam 11.40.

Kehilangan mangsa disedari empat rakan mangsa yang bersama dalam aktiviti itu.

Maritim Malaysia dan meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.