Pameran Sunyi dan Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 di Langkawi

Pameran Sunyi bermula pada 15 hingga 24 November 2024 di Hospital Lama Kuah, Langkawi

KUALA LUMPUR–– Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensi Balai Seni Negara merasmikan Pameran Sunyi dan Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 di Hospital Lama Kuah, Langkawi, Kedah kelmarin.

Pameran dan simposium ini merupakan sebahagian daripada program sokongan di bawah Program Residensi Bakat Muda Sezaman 2024, yang bertujuan untuk memberi ruang kepada perkembangan serta pendedahan lebih mendalam kepada bakat muda dalam seni kontemporari.

Perasmian disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiausaha MOTAC. Turut hadir YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi serta para penggiat seni.

Pameran Sunyi bermula pada 15 hingga 24 November 2024 di Hospital Lama Kuah, Langkawi.

Manakala, Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 berlangsung selama dua hari bermula pada hari sama di Hotel Grand Continental Langkawi.

Pameran Sunyi merupakan sebuah pameran seni kontemporari yang mengajak pengunjung untuk meneroka tema “sunyi” melalui pelbagai perspektif dalam dunia seni visual, yang lahir daripada persoalan-persoalan sosial dan alam sekitar di Langkawi pascapandemik COVID-19.

“Sunyi” juga menggambarkan ketenangan yang terhampar dalam keindahan alam semula jadi Langkawi, serta gaya hidup yang lebih damai, jauh dari hirukpikuk kehidupan kota besar.

Dalam konteks ini, “sunyi” dilihat dari sudut yang positif, memberikan ruang untuk refleksi serta penghargaan terhadap nilai-nilai kehidupan yang lebih luhur, seperti perayaan “Nyepi” di Bali, Indonesia yang disambut dalam suasana sunyi, penuh dengan makna spiritual yang mendalam.

Pameran ini menggabungkan seramai 11 artis muda yang aktif dalam menghasilkan seni instalasi site-specific.

Antara artis yang terlibat adalah Alvin Lau, Arikwibowo Amril, Azam Aris, Fauzan Fuad, Hannah Moujing, Khabir Roslan, Ng Yi Kee, Ryan Tang, Sim Hoi Ling, Teo Wey Yinn, dan Ahmad Rajaie.

Pameran Sunyi menampilkan kelainan berbanding pameran-pameran sebelum ini, dengan melibatkan dua fasa iaitu residensi dan pameran.

Residensi yang berlangsung selama 13 hari pada bulan September lalu memberi peluang kepada artis untuk menjalani aktiviti lawatan dan kajian lapangan, sekaligus berinteraksi dengan naratif Pulau Langkawi menerusi tiga komponen utama iaitu memeta ruang ambang Langkawi, menterjemah keindahan alam semula jadi, serta menggali sejarah, kebudayaan, dan kelestarian pulau ini.

Setelah itu, para artis meneruskan kajian mereka dengan topik yang dipilih, merangka idea, dan membangunkan lakaran karya.

Fasa kedua adalah pameran yang melibatkan proses pemasangan karya sebelum pameran dibuka kepada orang ramai.

Sementara itu, Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 yang berlangsung sehingga 17 November 2024 ini menghimpunkan pakar rujuk terdiri daripada kurator dan seniman seperti Azzad Diah Ahmad Zabidi, Wong Hoy Cheong, Moelyono, Dr. Tisna Sanjaya, serta Muhammad Hazrin Abdul Malek @ Moktar, yang juga merupakan kurator merangkap Pengarah Balai Seni Negara Langkawi.

Simposium ini mengupas hala tuju Bakat Muda Sezaman serta kepentingan memahami konsep seni di lokasi dan seni komuniti. Ia bertujuan untuk menjadi pendorong kepada seniman muda dalam menghasilkan karya seni yang relevan dan seiring dengan tema yang ditetapkan, sebagai persediaan untuk Pertandingan Bakat Muda Sezaman yang akan datang.

Justeru, pameran dan simposium ini bukan sahaja menyediakan platform bagi pengembangan bakat muda dalam seni kontemporari, tetapi juga menjadi langkah penting dalam mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran dunia seni yang lebih luas.

Ia mengukuhkan komitmen Balai Seni Negara dalam menyediakan ruang kepada artis muda untuk berkarya, berinteraksi dengan komuniti seni, serta mengembangkan kreativiti yang mampu memberi impak besar dalam landskap seni tempatan dan antarabangsa.

Orang ramai dijemput untuk melawat Pameran Sunyi yang dibuka sehingga 24 November 2024, bermula jam 5.00 petang hingga 10.00 malam.

 

RENTAS7

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.