Kerajaan tubuh jawatankuasa khas jaminan akses bekalan vaksin COVID-19

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR-Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada hari ini bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 bagi memastikan bekalan vaksin COVID-19 dapat diperolehi dengan kadar segera, selamat dan sempurna.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, jawatankuasa Khas ini akan diketuai secara bersama oleh beliau dan Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Dr. Adham Baba.

“Ia bagi tujuan menyediakan rangka kerja dan pelan perolehan serta pengagihan vaksin COVID-19 apabila ia diluluskan untuk kegunaan di Malaysia.

“Menerusinya, beberapa Jawatankuasa Kecil (JKK) dengan skop tugas seperti pemilihan vaksin, komunikasi, pendaftaran dan kelulusan, trade facilitation, kewangan, penstoran, logistik dan pengangkutan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengagihan vaksin akan turut dibentuk merentasi pelbagai kementerian dan agensi bagi memudah cara dan mempercepatkan pelaksanaan tugas ini.

“Keputusan penubuhan jawatankuasa khas ini adalah penting bagi memastikan persediaan awal yang rapi dibuat sebelum bekalan vaksin diterima untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.