Kerajaan negeri sedia peruntukan bangunkan Gua Air, Baling

ALOR SETAR– Gua Air di Kampung Tok Patah, Baling akan diberikan perhatian sebagai salah satu produk pelancongan domestik.

Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, Gua Air merupakan penemuan terbaru dan kerajaan negeri akan melihat potensi yang ada pada gua berkenaan untuk dibangunkan.

“Insha Allah pada Sabtu ini (29 Ogos) saya bersama ADUN Kuala Ketil..ADUN Bayu pun boleh ikut sekali tetapi ini dicadangkan ADUN Kupang untuk kita pergi ke Gua Air.

“Insha ALLAH kita ada sedikit peruntukan untuk Gua Air,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abd Nasir Idris (PAS- Bayu) berkaitan apakah peruntukan RM200,000 yang diumum Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor bagi pembangunan sebuah gua di Baling ialah satu langkah pemulaan bagi menjadikan daerah itu pusat pelancongan.

Tambah Firdaus, peruntukan RM200,00 bagi Gua Sireh ialah bagi pembangunan infrastruktur sahaja.

Menurutnya, selain daerah Yan dan Langkawi, Baling juga merupakan daerah yang akan dibangunkan sebagai hub eko pelancongan.

Menurutnya, Baling mempunyai tarikan pelancongan berasaskan alam semulajadi dan kebudayaan.

Terdahulu, Firdaus menjelaskan pandemik COVID19 menyebabkan sektor pelancongan terjejas ekoran ketiadaan pelancong luar negara.

Bagi menghadapi masalah itu kerajaan negeri akan memberikan tumpuan pelancongan peringkat domestik.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.