KKM tuntut kawalan sempadan diperketatkan, bendung COVID-19

KUALA LUMPUR-Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menuntut kawalan sempadan diperketatkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ada negara lain yang sedang menghadapi ancaman gelombang baharu penularan COVID-19.

Menurutnya, perkara sama boleh berlaku di Malaysia jika kita leka dan memandang remeh situasi di Malaysia

“Kawalan sempadan perlu terus dipertingkatkan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengekang aliran kemasukan individu yang berpotensi dijangkiti COVID-19 ke dalam negara,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, daripada 3 April 2020 sehingga 23 Ogos 2020, seramai 104,188 rakyat dan pemastautin tetap telah disaring.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 103,289 telah dikuarantinkan samada di rumah atau pusat kuarantin.

“Kes positif COVID-19 yang dikesan pula adalah sebanyak 899 kes di mana mereka telah diasingkan dan dirawat di hospital. Sekiranya terdapat kelemahan, sistem ini akan ditambahbaik dari semasa ke semasa,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, semua petugas barisan hadapan dituntut untuk terus patuh kepada rangka kerja, panduan amalan dan tatacara pengurusan kes di lapangan.

“Sekiranya menghadapi sebarang cabaran, kerumitan, mahupun halangan dalam menjalankan tugas, pihak atasan perlu dimaklumkan segera agar ianya dapat dirungkai dan diselesaikan.

“Ini adalah penting untuk memastikan undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, dan petugas barisan hadapan adalah terlindung daripada jangkitan penyakit serta sebarang cabaran dalam melaksanakan tugasan di lapangan,”katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) amat penting untuk digunakan bagi memutuskan penularan COVID-19.

“Ketidakpatuhan terhadap Akta ini akan meningkatkan risiko kebolehjangkitan dan penularan penyakit.

“Sekali lagi diingatkan kepada semua petugas untuk patuh kepada panduan amalan dalam pelaksanaan tugasan, dan orang ramai untuk terus patuh kepada peraturan serta SOP yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,”katanya.

Tambahnya, masyarakat memainkan peranan yang amat penting dengan mematuhi sepenuhnya Akta ini dan segala SOP yang ditetapkan, tidak kira siapa dan di mana sekali pun.

“Hanya dengan kepatuhan seratus peratus terhadap Akta ini, kita dapat bersatu dalam peperangan terhadap musuh kita yang sama ini, iaitu COVID-19,”katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan belakang tabir, serta rakyat Malaysia yang telah sama-sama berusaha keras bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

“Bagi memastikan tiada penularan jangkitan, pematuhan kepada undang-undang dan SOP yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan amatlah penting,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.