Pembinaan lebih banyak SJKC ancam Melayu

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI- Kerajaan dibawah Perikatan Nasional (PN) digesa mengkaji semula cadangan untuk menambah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) atau bakal hilang kepercayaan orang Melayu.

Ketua Penyelaras Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Mustaffa Idrus berkata, pembinaan lebih banyak SJKC hanya menguntungkan aliran sekolah vernakular.

Menurutnya, sekiranya kerajaan tidak membatalkan cadangan berkenaan, undi kaum Melayu akan berpecah dan menguntungkan kaum lain.

“Jika inilah keputusan kerajaan, PN mungkin hilang kepercayaan orang Melayu. Orang Melayu akan melakukan protes undi.

“Walaupun mereka tidak akan menyokong Pakatan Harapan atau parti Pejuang tetapi keputusan membina lebih banyak SJKC akan membuatkan undi Melayu berpecah,”katanya hari ini.

Tambahnya, PUTRA membantah pendirian kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Semoga rakyat akan sedar dan menyokong PUTRA demi pembelaan masa depan dan negara,”katanya.

Mustafa berkata, sikap berlembut kerajaan hanya akan memberikan peluang kepada kelompok minoriti untuk mengukuh dan melebarkan kuasa.

“Kesilapan kerajaan terdahulu membenarkan pembinaan sekolah berasaskan kaum telah memperlihatkan implikasi yang buruk pada hari ini.

“Anda boleh lihat bagaimana kelompok minoriti berani mencabar hak-hak orang Melayu, menggantung Jalur Gemilang secara terbalik, menghina Yang di-Pertuan Agong dan lain-lain lagi.

“Jika kerajaan hari ini terus mewarisi kesilapan kerajaan lampau, orang Melayu tidak mustahil akan hilang kuasa di bumi sendiri,”katanya.

Pada 25 Ogos media melaporkan kerajaan akan memajukan dan membina 10 SJKC baru dan memindahkan enam yang lain ke tempat lebih besar.

Sin Chew Daily melaporkan, keputusan itu mendapat pujian Kumpulan pendidik Dong Zong.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.