Kedah jawab tuduhan dilempar NGO

Imej satelit yang dikaitkan dengan pembalakan seperti didakwa beberapa NGO tersebut

ALOR SETAR– Kerajaan negeri menegaskan tiada aktiviti pembalakan di Kompleks Hutan Hulu Muda seperti didakwa beberapa buah NGO.

Pejabat Menteri Besar (MB) Kedah dalam satu kenyataan berkata, dakwaan beberapa NGO berkenaan mencetuskan kekeliruan dalam pemikiran masyarakat.

Menurut kenyataan, pertubuhan bukan kerajaan tersebut telah mengeluarkan kenyataan akhbar bertajuk “NGO terkilan dengan aktiviti pembalakan di Kompleks Hutan Hulu Muda’ bertarikh 24 November 2020.

Kenyataan akhbar NGO itu turut melampirkan dua imej satelit yang didakwa memaparkan imej kesan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Bukit Keramat berhampiran Empangan Ahning di daerah Padang Terap, Kedah.

“Ditegaskan bahawa Hutan Simpan Bukit Keramat di daerah Padang Terap adalah tidak termasuk dalam Kawasan Kompleks Hutan Hulu Muda di daerah Sik, Kedah sebagaimana ia dikaitkan dalam tajuk kenyataan akhbar berkenaan.

“Pihak NGO berkenaan seharusnya menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam kenyataan mereka dan tidak mencetuskan kekeliruan dalam pemikiran masyarakat berkaitan apa yang didakwa,” kata kenyataan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan MB berkata, Hutan Simpan Bukit Keramat adalah hutan simpan jenis darat berada bawah pentadbiran Jabatan Perhutanan Daerah Kedah Utara.

Menurutnya, ia berkeluasan 11,105 hektar dan telah diwartakan sebagai Hutan Simpan pada 17 Januari 2013.

“Hutan Simpan Bukit Keramat terbahagi kepada dua kategori iaitu Hutan Pengeluaran dan Hutan Perlindungan.

“Hutan Pengeluaran dengan keluasan 5,899 hektar adalah kawasan di mana hasil kayu boleh dikeluarkan manakala Hutan Perlindungan yang seluas 5,206 hektar adalah digazetkan sebagai kawasan hutan tadahan,” katanya.

Kenyataan berkata, Jawatan Kuasa Tetap Hasil Bumi (JKTHB) yang bersidang pada 1 Disember 2017 telah meluluskan kawasan seluas 1,400 hektar untuk aktiviti pembalakan, manakala pada 14 Disember 2017, 380 hektar lagi diluluskan.

Menurutnya, kawasan tersebut adalah kawasan yang dipersetujui bagi ‘swapping’ dengan syarikat Tradewinds.

“Aktiviti pembalakan tidak dijalankan di kawasan yang digazetkan sebagai Hutan Perlindungan atau Hutan Simpan Kekal.

“Kawasan pembalakan yang jadi fokus NGO berkenaan dalam kenyataan akhbar mereka melalui pemaparan imej satelit yang disebarkan adalah kawasan yang telah diluluskan secara sah melalui keputusan JTHB dalam mesyuarat bertarikh 1 Ogos 2017,” katanya.

Jelas kenyataan itu, setelah diberi kelulusan, hasil hutan di kawasan berkenaan perlu dikeluarkan sebelum penyerahan hak milik tanah kepada syarikat Tradewinds dilaksanakan.

“Dalam mesyuarat pada 14 Disember 2017, JTHB telah meluluskan permohonan syarikat Rimba Inas Enterprise untuk menjalankan projek ladang hutan seluas 380 hektar.

“Aktiviti pembalakan yang dijalankan di Hutan Simpan Bukit Keramat dilaksanakan secara tebang habis bagi tujuan ‘swapping’ untuk dijadikan tanah bermilik syarikat Tradewinds.

“Kenyataan YAB Menteri Besar Kedah, Haji Muhammad Sanusi Md Nor pada Ogos lalu yang memberi jaminan bahawa Kawasan Hutan SImpan Hulu Muda akan dilindungi sebagai kawasan tadahan, adalah tidak ada kaitan sama sekali dengan aktiviti pembalakan di Kawasan Hutan Simpan Bukit Keramat sebagaimana ia dikaitkan dalam kenyataan akhbar kumpulan NGO ini,” katanya.

Kata kenyataan juga, sehingga kini, tidak ada aktiviti pembalakan dijalankan di Kawasan Hutan Simpan Hulu Muda.

Menurutnya, tuduhan dilemparkan beberapa buah NGO berkenaan seolah-olah Kerajaan Negeri bawah pimpinan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md. Nor memungkiri jaminan yang telah diberikan, adalah tidak berasas sama sekali.

“Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah menjalankan pemeriksaan di lapangan pada 17 November 2020 dan mengesahkan tiada sebarang salah laku atau tebangan di luar kawasan yang telah diluluskan, berlaku di situ.

“Justeru, tidak timbul sebarang isu pelanggaran undang-undang sebagaimana kebimbangan pihak NGO berkenaan kononnya pembalakan boleh menjejaskan hak Kerajaan Kedah untuk menerima dana Kerajaan Persekutuan dan antarabangsa bagi perlindungan sumber hutan seperti EFT dan REDD Plus.

“Tambahan pula, kelulusan untuk tujuan ‘swapping’ tanah telah diberikan lebih tiga tahun lalu berdasarkan terma undang-undang yang sah,” katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.