JAKIM sahkan Brown Sugar Bubble Tea Ball ada gelatin babi

KUALA LUMPUR-Jabatan Agama Islam Kemajuan Malaysia (JAKIM) mengesahkan produk Brown Sugar Bubble Tea Ball mengandungi sumber tidak halal iaitu gelatin babi.

Seksyen Komunikasi Korporat,
Bahagian Pengurusan Halal JAKIM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mula menerima pertanyaan berkenaan isu produk berkenaan di media sosial rentetan timbul dakwaan yang menyatakan produk tersebut tidak halal.

“Berdasarkan semakan pihak @halalmalaysiaofficial, produk tersebut tidak memiliki pengesahan halal dari JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

“Lebih jelas lagi, produk bubble tea keluaran negara Taiwan yang diimport oleh syarikat Meng Chong Foodstuffs Pte Ltd yang berpengkalan di Singapura tersebut mengandungi sumber bahan ramuan yang tidak halal iaitu gelatin babi,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan berkata, para pengguna khususnya pengguna Islam dinasihatkan agar lebih berwaspada dengan meneliti terlebih dahulu label bungkusan produk sebelum melakukan belian sebarang produk makanan atau minuman baik di Malaysia atau di luar negara.

“Jadilah pengguna yang bijak dengan mengutamakan produk yang telah dipersijilkan halal oleh JAKIM atau JAIN atau mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

“Perlu diketahui bahawa produk yang telah dipersijilkan halal oleh JAKIM atau JAIN atau mana-mana badan pengesahan halal luar negara yang diiktiraf adalah dijamin halal dan toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut prosedur, peraturan jua perundangan berkaitan yang telah ditetapkan di negara masing-masing,”katanya.

Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia serta logo-logo halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.

Ikuti penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular di:- http://bit.ly/PenjelasanIsuHalalTular

Rentas7.com/Foto: JAKIM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.