“Dulu ponteng Parlimen, sekarang tunjuk rajin pula”

Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– “Sewaktu Parlimen bersidang mereka ponteng, hari ini mahu tunjuk rajin pula” sindir Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus (gambar) terhadap Ahli Parlimen PH.

Sindiran Mustaffa merujuk kepada pemimpin PH yang mendesak kerajaan mengadakan Sidang Parlimen di tengah-tengah negara dilanda wabak COVID-19.

“Ahli Parlimen PH beri alasan terlalu sejuk dalam Dewan Rakyat. Mereka tidak menunjukkan sikap yang baik kepada rakyat.

“Tetapi kini apabila kuasa telah hilang, tiba-tiba sahaja PH mendesak Parlimen segera bersidang dalam keadaan negara sedang bergelut ancaman COVID-19,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemimpin PH dituntut mengetepikan ideologi politik ketika ini sebaliknya membantu kerajaan membasmi COVID-19.

“Masih ramai penduduk memerlukan bantuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Barisan hadapan negara juga sedang bergelut mempertahankan nyawa rakyat.

“Tak bolehkah tunggu sehingga wabak ini berakhir untuk berpolitik? Inilah sikap PH yang rakus mahu berkuasa,”,katanya.

Tambahnya, rakyat negara ini tidak perlukan PH memerintah bahkan orang Melayu menolak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, penolakan orang Melayu terhadap Anwar bukan lagi retorik malah diakui sendiri bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Rakyat merestui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Beliau dilantik Yang di-Pertuan Agong secara sah tanpa mengetepikan undang-undang negara.

“Anwar jika mahu tahu beliau disokong orang Melayu atau tidak tunggulah pada PRU-15 kelak. Tapi nasihat saya usahlah bertanding, khuatir pula jika Anwar akan terus menunggu menjadi Perdana Menteri,”katanya dalam nada sindiran.

Dalam pada itu katanya, PAMM sebagai sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga akan bertindak memantau prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“PAMM akan menjadi “semak dan imbang” terhadap kerajaan ketika ini. Kami akan menegur dan mengkritik kerajaan sekiranya ada tindakan dilakukan di luar batas-batas yang sepatutnya,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.