KUALA LUMPUR -Kebangkitan gila!
Dua patah perkataan itu sudah cukup menggambarkan aksi penuh dramatik pertemuan Malaysia dengan Republic Kyrgyzstan dalam aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Malaysia yang ketinggalan dua gol dan dilihat suatu ketika kurang bermaya bangkit melepaskan geram untuk kemenangan bergaya 4-3.
Harimau Malaya yang turun memburu kemenangan mencipta gol awal menerusi tandukan Dion Cools pada minit ke-7 hasil sepakan sudut.
Gol itu akhirnya dipadam menerusi gol Kayrat Zhyrgalbek pada minit ke-42 sebelum Ernist Batyrkanov memastikan pasukannya selesa mendahului apabila menambah jaringan selang dua minit kemudian.
Kealpaan benteng pertahanan membawa padah apabila Republic Kyrgyzstan mudah mendahului 2-1 dalam masa singkat.
Di separuh masa pertama, skuad kebanggsaan dilihat beraksi sangat longlai dan tidak bermaya selepas selesa mendahului gol.
Ketika belasan ribu penyokong Harimau Malaya di stadium mengharapkan kebangkitan, lawan sekali lagi merobek gawang gol negara pada minit ke-57.
Kai Merk tidak berdepan masalah melakukan rembatan kencang menewaskan Syihan Hazmi walaupun cuba dihadang empat pemain pertahanan Malaysia.
Tersentak dengan jaringan itu Kim Pan-gon pantas mengeluarkan tiga pemain yang dilihat kurang menyerlah iaitu Brendan Gan, Darren Lok dan Shahrul Saad.
Mereka digantikan dengan Akyar Rashid , Paulo Josue dan Endric dos Santos.
Dominic Tan yang mengalami kecederaan turut dikeluarkan tidak lama kemudian.
Kemasukan empat pemain berkenaan nyata telah menukar rentak serangan dan pertahanan skuad Harimau Malaya kepada lebih agresif, tajam dan ampuh berbanding skuad sebelumnya.
Malaysia merapatkan jurang gol selepas pertahanan lawan tertampan hantaran Arif Aiman untuk kedudukan semasa 3-2 pada minit ke-72.
Pasukan lawan terpaksa mengeluarkan penjaga gol utama mereka selepas mengalami kecederaan termasuk melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan beberapa pemain gantian.
Harimau Malaya yang ghairah memburu gol penyamaan mengikat kedudukan 3-3 selepas
Dion Cools sekali lagi menanduk masuk hantaran sudut rakan sepasukan pada minit ke-77.
Gol ditunggu-tunggu seluruh rakyat Malaysia akhirnya tiba apabila Faisal Halim yang menerima hantaran Arif Aiman menewaskan penjaga gol Republic Kyrgyzstan pada minit ke-93 sekaligus menyumbangkan tiga mata berharga.
Untuk catatan mata FIFA, Malaysia berada di kedudukan 137 dunia manakala Republic Kyrgyzstan di ranking 97 dunia.
Selain Republic Kyrgyzstan, Malaysia bakal berdepan Chinese Taipei dan Oman dalam Kumpulan D.
RENTAS7/FOTO: FAM
Leave a Reply