“COVID-19, Paklong sedang lakukan terbaik demi rakyat dan negara”

Datuk Seri Ismail Sabri

KUALA LUMPUR– Menteri Kanan (Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memamahi perasaan rakyat terhadap peningkatan COVID-19 di negara ini.

Beliau yang mesra membahasakan diri sebagai Pak Long menegaskan sedang melakukan yang terbaik demi rakyat dan negara.

“Ya, Pak Long tahu rakyat gelisah, sedih dan marah.

“Namun ketahui lah Pak Long sedang melakukan sedaya upaya Pak Long untuk memastikan setiap rakyat berada dalam keadaan selamat,”katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam ini.

Beliau berkata telah membaca semua komen di Facebook, Twitter dan Instagram miliknya.

“Pak Long ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi pandangan. Pak Long ambil pendapat kalian semua di sudut pandang yang positif dalam melaksanakan yang terbaik untuk kalian semua.

“Pak Long sedar sejak akhir-akhir ini terdapat peningkatan jangkitan COVID-19 yang tinggi melibatkan penyebaran utama dari PATI (pendatang asing tanpa izin) iaitu Kluster Benteng di Sabah, dan melibatkan tahanan penjara iaitu Kluster Tembok, Kedah seperti mana diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan,”katanya.

Beliau berkata, dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri, kerajaan telah membuat keputusan untuk terus memperketatkan sempadan terutamanya Pantai Timur Sabah agar PATI tidak mudah lolos untuk mengelakkan jangkitan kepada rakyat.

“Kawalan, aset, dan anggota di tambah untuk memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) rentas daerah di Sabah juga dikeluarkan untuk memastikan penularan jangkitan dapat di kawal dengan sebaiknya,”katanya.

Ismail berkata, kerajaan hingga hari ini terus melaksanakan Task Force Operasi Pematuhan dan Operasi Sanitasi Awam untuk proses sanitasi lokasi-lokasi yang terlibat bagi membendung penularan COVID-19.

“Pak Long jua mohon dari kalian semua.. agar teruskan kawalan kendiri dengan menjaga penjarakan sosial, pakai pelitup muka, dan juga kerap mencuci tangan untuk melawan COVID-19 ini.

“Musuh kita, COVID-19 ini tidak akan hilang selagi vaksin tidak ditemui.Kita hampir berjaya melandaikan lengkungan sebelum ini, tiada sebab untuk kita berputus asa hari ini.

“Salam hormat dari Pak Long.Jaga keselamatan kalian semua.. untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat kita,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.