“Harapkan bantuan ALLAH dalam amanah ini”

KUALA LUMPUR-“Saya sering memohon agar Allah tidak bebankan saya dengan suatu jawatan yang menyusahkan saya nanti di akhirat, dan mengharapkan pertolongan Allah dengan amanah ini,”.

Demikian kata, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar.

Menurutnya, beliau tidak menduga akan diserap ke dalam Kabinet kerana menyedari tanggungjawab dipikul amatlah berat.

“Saya tidak menduga akan diamanahkan ke jawatan ini. Ia adalah taklifan yang berat.

“Semoga jawatan ini menambahkan taqwa sebagaimana seluruh alam, samada di langit atau di bumi sentiasa bertasbih kepada Penciptanya,”katanya semalam.

Dalam kenyataannya itu, beliau turut memetik Surah At-Taghabun, Ayat 1 yang berbunyi:

“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah; bagiNyalah kuasa pemerintahan, dan bagiNyalah segala pujian; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu,”.

Tuan Ibrahim turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang merakamkan penghargaan dan doa.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu adalah salah seoarang daripada lapan pemimpin PAS yang dibawa masuk memperkasakan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional.

Kabinet kali ini melakar sejarah politik negara apabila barisan Kabinet kembali dianggotai pemimpin PAS selepas kali terakhir bersama kerajaan campuran Perikatan (1973-1974) sebelum menyertai Barisan Nasional dari 1974-1977.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.