Menteri Undang-Undang bekas jurulatih Muay Thai

KUALA LUMPUR-Orang nampaknya sangat “cool” tapi siapa sangka Datuk Takiyuddin Hassan adalah bekas jurulatih Muay Thai.

Di sebalik sikapnya yang suka merendah diri itu, Datuk Takiyuddin merupakan individu bertanggungjawab mengasah bakat Brig. Jeneral Datuk Dr Mohd Radzi dalam sukan berkenaan.

Sejarah ringkas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai jurulatih Muay Thai dikongsi sendiri Datuk Dr Mohd Radzi di Facebooknya

“Sejarah tomoi siam saya agak panjang. Saya belajar tomoi siam sejak dari darjah dua. Semasa dalam darjah 5, guru kami dari Thailand iaitu Heng Sangsemai mati di tembak di Pattani.

“Jadi murid senior iaitu Dato Taki (Datuk Takiyuddin) ambil alih gelanggang dan ajar kami sampai khatam buah 21,”katanya.

Sambung Datuk Dr Mohd Radzi, Datuk Takiyuddin juga adalah individu yang membawanya masuk menyertai pertandingan.

“Kemudian dia membawa saya dan sparing partner saya iaitu Ayub Besi masuk ke pertandingan tomoi siam di Chengmai.

“Tahun pertama masuk kami kalah tapi tahun kedua saya juara Tomoi Siam Chengmai Open yang mengakibatkan saya kehilangan tulang hidung.

“Selepas masuk tentera, dengan ilmu tomoi siam, saya belasah lawan hingga masuk hospital bagai dan muncul sebagai Peninju Terbaik TD (Tentera Darat) selama dua tahun berturut-turut,”katanya

Terdahulu, Datuk Dr Radzi berkongsi gambar swafoto bersama bekas jurulatihnya itu setelah bertemu dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri dan Mesyuarat PM sempena COVID-19.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.