Benam Australia 3-0, apa kata penyerang Malaysia?

KUALA LUMPUR- Penyerang meningkat naik Malaysia B-18, Luqman Hakim Shamsudin menyifatkan kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Australia petang tadi berkat doa semua pihak.

Luqman berkata, dia akan memberikan kualiti lebih baik pada perlawanan seterusnya.

“Syukur Alhamdulillah kerana doa ibu bapa, jurulatih- jurulatih dan semua rakyat Malaysia telah memberikan kejayaan kepada kami pada hari ini.

“Saya akan cuba lebih baik untuk next game,”katanya yang dipetik daripada Facebook National Football Development Programme-NFDP.

Pada aksi keempat Piala Next Media B-18 di Vietnam, Luqman menjaringkan dua gol pada minit ke-16 dan 37 manakala satu lagi gol disumbangkan Muhammad Azam Azmi pada minit ke-26.

Luqman antara pemain menjadi buruan kelab Jepun

Kemenangan itu mengikut jejak langkah Malaysia B-15 yang sebelum ini menang keputusan sama ke atas Australia dalam saingan Piala AFF baru-baru ini.

Luqman yang cukup lincah di atas padang dan kini diburu kelab Divisyen 1 Liga Jepun, Cerezo Osaka yakin dengan kemampuan rakan sepasukan walaupun sedar berdepan lawan hebat seperti Australia.

“Bagi pasukan ini, kami mempunyai kekuatan sendiri meskipun berdepan dengan Australia.

“Tak kisahlah mereka kuat mana, kami tetap bermain dengan semangat yang tinggi”katanya.

Malaysia semakin hampir untuk layak ke separuh akhir dan akan menentang Thailand B-18 pada aksi akhir Kumpulan B.

Pada tiga aksi terdahulu, Malaysia tumpas 1-0 pada tuan rumah Vietnam sebelum bangkit menewaskan Singapura 3-1 dan Kemboja 3-0.

Australia pula sebelum ini menewaskan Kemboja 5-1, dan menang ke atas Vietnam 4-1 serta atasi Thailand 3-1.

Rentas7.com

Pix-NFDP/google

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.