Menteri Besar Perak terima sokongan terbuka

IPOH-  Kepimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendapat sokongan terbuka semua Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH Perak, hari ini.

Exco kanan Negeri Perak, Asmuni Awi berkata, sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak khabar angin dan fitnah yang dilemparkan kepada pihak kerajaan Perak

Menurutnya, ia cubaan untuk mengganggu gugat kestabilan pentadbiran Kerajaan di bawah PH.

“Meskipun telah diperjelas beberapa kali sebelum ini sama ada di dalam dewan mahupun di luar dewan.

“Namun usaha-usaha untuk mencipta dan merekayasa persepsi jahat kepada keutuhan kerajaan masih terus berlaku,”katanya pada sesi sidang media hari ini.

Tambahnya, kebersamaan semua ADUN PH pada sidang media tersebut bertujuan menzahirkan sokongan penuh tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ahmad Faizal.

“Kami juga ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Perak sekarang ini masih kukuh dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus mentadbir negeri ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua Exco Kerajaan Negeri Perak dan ADUN-ADUN Pakatan Harapan yang bersama di dalam sidang media pada hari ini dan memberikan mandat kepada saya mengetuai sidang media ini,”katanya.

Asmuni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri berkata, semua pihak, khususnya rakyat Perak dituntut mengabaikan segala tohmahan dan fitnah.

Menurutnya, semua Exco kerajaan negeri wajar diberi kepercayaan supaya mereka dapat menggalas amanah serta melaksanakan tugas dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Kami juga berjanji akan terus menjunjung mandat yang diberikan oleh rakyat negeri Perak untuk memajukan negeri seterusnya membawa kemakmuran bersama yang diusahakan kerajaan,”katanya.

Terdahulu, kepimpinan kerajaan negeri dikatakan retak apabila muncul klip video Faizal Azumu yang mendakwa terpaksa bersendirian dalam menghadapi DAP di Perak.

Terbaru tersebar rakaman video seorang Naib Pengerusi sebuah parti yang memujuk tiga ADUN UMNO untuk melompat parti untuk mentatuhkan Menteri Besar Perak.

Rentas.com

Keterangan gambar: Asmuni duduk tengah pada sidang media bersama Exco dan ADUN PH Perak, hari ini

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.