YDPA tidak isytiharkan darurat, yakin keupayaan kerajaan kawal COVID-19

KUALA LUMPUR– Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat tidak perlu mengisytiharkan darurat buat masa kini.

Keputusan itu dibuat selepas Raja-raja Melayu bersidang di Istana Negara hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadhil Shamsudin berkata, Al Sultan Abdulllah sebelum itu berkenaan memperhalusi permohonan yang telah dipersembahkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di majlis menghadap di Istana Negara pada Jumaat lalu.

“Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara (150) 1 dan Pemasyuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi wabak COVID-19 di negara ini.

“Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al Sultan Abdulllah merasakan kerajaan telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadhil berkata, YDPA amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini daripada terus merebak.

“Al Sultan Abdulllah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

“Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara,”katanya.

Menurutnya, Al Sultan turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-Ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentang di sidang Parlimen adalah amat penting untuk rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan negara.

“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,”katanya.

Katanya, Al Sultan Abdulllah amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kebaikan mendadak beberapa kluster baru dan kes positif harian COVID-19 di negara ini.

“Al Sultan Abdulllah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti mana yang telah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengetepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak -pihak berkuasa membendung wabak COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai selama ini.

“Al Sultan Abdulllah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri segera,”katanya

Rentas7/ foto: Istana Negara

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.