Cuci sungai dan parit awal elak banjir, contohi Thailand

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Parti Warisan Malaysia Negeri Kedah menuntut kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan tindakan pantas mencuci longkang, parit dan sungai sebagai persediaan menghadapi musim banjir yang diramal pada bulan ini hingga akhir tahun.

Ketua Biro Perhubungan Awam Parti Warisan Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, kelewatan mencuci sistem saliran dan perparitan akan memberikan impak buruk kepada penduduk khususnya di kawasan berisiko.

“Warisan ucapkan tahniah kepada PBT yang telah bertindak awal. Tetapi bagi belum, segerakan bertindak.

“Kita dapati masih ada perparitan dan saliran di negeri ini belum dicuci, dilebar dan didalamkan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Mustaffa Idrus

Beliau berkata, pihak berkuasa sepatutnya mencontohi jiran tertangga iaitu Thailand apabila bertindak beberapa bulan lebih awal mengatasi banjir.

“Jika di Thailand, kita boleh melihat jengkaut sibuk mencuci sistem saliran dan perparitan di kawasan penduduk.

“Tindakan mereka lebih awal sebelum banjir berlaku. Tetapi di Malaysia kebanyakan kita masih lalai dan di takuk lama.

“Kita sering menunggu sesuatu berlaku barulah mahu bertindak. Sikap begitu perlu diubah,”katanya.

Jabatan Meteorologi sebelum ini mengumumkan Fasa Peralihan Monsun Barat Daya yang dijangka bermula 4 Oktober hingga November.

Semasa tempoh itu, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah sesuai untuk kejadian ribut petir.

Pada fasa itu, diramal membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam tempoh singkat.

Kejadian itu berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat dan pendalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.