UMNO terus pilih PAS untuk kerjasama Maufakat Nasional

KUALA- LUMPUR– UMNO bersetuju untuk terus bersama PAS melalui Maufakat Nasional.

Perkara itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKTU) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) siang tadi.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, MKTU bersetuju untuk terus memperkasakan gerak kerja Muafakat Nasional bersama PAS dalam berhadapan sebarang kemungkinan.

“MKTU Malaysia telah diberikan penjelasan terkini oleh Presiden UMNO, (Datuk Seri Dr Zahid Hamidi) berhubung situasi politik semasa.

“Presiden telah memberikan pelbagai senario yang berkemungkinan berlaku. Senario-senario tersebut telah dinilai secara bersama dengan PAS dalam semangat MN,”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, MKTU berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan telah memberikan pandangan secara terbuka untuk perhatian dan tindakan Presiden UMNO.

“MKTU merasa amat bimbang dengan kedudukan orang Melayu, kaum Bumiputera, Umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya yang semakin terhimpit berpunca dari kegagalan Pakatan Harapan.

“MKTU berbincang panjang berkenaan hala tuju dan pendekatan MN dalam senario politik yang tidak menentu ini demi memelihara kepentingan rakyat,”katanya.

Terdahulu, ahli MKTU Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Zahid cuba membawa UMNO bekerjasama dengan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lokman yang juga penyokong kuat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membantah sekeras-kerasnya usaha berkenaan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.