KUALA LUMPUR– Seluruh umat Islam di Malaysia terutama kepala-kepala pemimpin diminta patuh dan taat kepada titah Sultan Pahang supaya jangan berdiam ketika agama Islam dihina.
Pengerusinya Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Mustaffa Idrus berkata, Islam wajib dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir oleh rakyat dan pemimpin.
Menurutnya, para pemimpin agama, kerajaan dan penguatkuasaan sewajarnya tampil menjalankan tugas dengan amanah selaras titah Sultan Pahang yang menuntut kesucian Islam dibela.
“Titah Sultan Pahang supaya penghina agama Islam dikenakan hukuman setimpal mengikut undang-undang sepatutnya membuka mata semua khususnya kepala-kepala pemimpin supaya berani dan tegas membela kedaulatan Islam.
“Kepala-kepala pemimpin yang berat sebelah, berdiam ketika agama dihina dan tidak mahu membela agama perlu malu dengan titah telah dikeluarkan Sultan Pahang,”katanya.
Beliau berkata, membiarkan agama dihina ibarat meletakkan leher sendiri di pedang musuh.
“Kita mulia kerana Islam, kita kuat kerana Islam dan kita kukuh kerana Islam. Maka tanpa agama, kita akan dilempar ke lembah penghinaan,”katanya.
Mustaffa berkata, pihak-pihak yang telah menghina agama wajib dikenakan tindakan seperti mana titah Sultan Pahang.
“Individu, kumpulan atau parti politik, atau mana-mana saja organisasi yang menghina agama Islam, wajib dikenakan tindakan tegas.
“Jangan berani mengambil tindakan terhadap umat Islam saja sedangkan pihak lain melakukan penghinaan kamu bacul dan pengecut,”katanya.
Terdahulu Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah mengingatkan umat Islam supaya bersama-sama mempertahankan dan membela agama Islam.
Baginda juga menuntut penghina agama Islam dikenakan hukuman.
RENTAS7








Leave a Reply