“Ini betul-betul Kabinet rakyat”

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyifatkan Kabinet baru kerajaan sebagai Kabinet yang benar-benar mewakili rakyat.

Ketua penyelaras PUTRA Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, anggota Kabinet yang terpilih ternyata mereka yang berpendidikan tinggi, berkelayakan serta berkualiti.

Menurutnya, usaha menggabungkan golongan teknokrat, profesional dan agamawan dalam Kabinet memberikan masa depan amat cerah kepada Malaysia.

“Alhamdulillah dan tahniah kepada semua yang dilantik. Ini betul-betul Kabinet rakyat yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia!

“PUTRA berharap semua anggota Kabinet dapat menjalankan tugas yang baik dengan amanah dan berintgiriti demi membangunkan maruah bangsa, agama dan kedaulatan tercinta,” katanya di Pejabat PUTRA di sini petang ini.

Beliau berkata, rakyat diharap terus memberikan sokongan kepada kerajaan baharu sekiranya tidak mahu negara diurus tadbir dengan lemah seperti mana dibawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“PUTRA juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Azam Baki yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru.

“Pelantikan Datuk Sri Azam adalah amat tepat sekali di mana beliau bebas daripada pengaruh politik berbanding Latheefa Beebi Koya. Latheefa juga gagal melunaskan tanggungjawab dengan baik,”katanya.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Perdana Menteri mengumumkan senarai anggota Kabinet kerajaan.

Seperti dijanjikan, Muhyiddin memilih anggota Kabinet yang terdiri daripada yang berintgiriti, berkelayakan serta melepasi tapisan PDRM dan SPRM.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.