“Saya berharap dia akan dikenakan hukuman maksimum”- Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR-Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menuntut pemandu mabuk yang melanggar mati Koperal Safwan Muhammad Ismail,31, dikenakan hukuman paling maksimum.

Abdul Hamid berkata, lelaki itu hasil siasatan pihaknya didapati cuai dan berada dalam pengaruh alkohol.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemandu berkenaan dan saya berharap dia akan dikenakan hukuman maksimum atas perbuatannya sebagai pengajaran supaya tidak berulang lagi,”katanya yang dipetik daripada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, segelintir individu tidak menghiraukan langsung keselamatan pengguna dan petugas di jalan raya.

“Harus diketahui bahawa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua pergerakan dihadkan

“Namun, ada lagi yang sempat mengambil minuman keras dan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut. Ini adalah jelas satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,”, katanya.

Awal pagi tadi, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban dekat Kajang dilanggar pemandu mabuk yang menaiki sebuah pacuan empat roda.

Mangsa yang parah di kepala dan badan akibat dihempap kenderaan itu maut di lokasi kejadian.

Rentas7.com/ Foto: FB

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.