Gajah usia 60 di kebun penduduk tahun dipindahkan

Lima anggota APM Sik terlibat dalam operasi ini

SIK– Seekor gajah liar yang menjadikan kebun di Kampung Kota Aur sebagai ‘habitat’ barunya sejak Selasa lalu ditangkap pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Sik hari ini.

Gajah jantan berusia 60 tahun yang tidak bergading itu ditangkap menggunakan bantuan dua gajah denak dari Pahang, operasi yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi.

Lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) SIK diberikan kepercayaan ‘Standby Medic’

Difahamkan, kira-kira 300 pokok getah dimusnahkan haiwan berkenaan sekaligus mengundang kebimbangan kepada penduduk di situ.

Pegawai Perhilitan Sik, Zukilfli Othman berkata, proses pemindahan gajah berkenaan diawalkan pada hari ini walaupun ia dijadualkan esok.

“Atas faktor keselamatan dan berita penangkapan gajah menjadi viral menyebabkan ramai orang awam datang melihat gajah berkenaan.

“Berikutan itu gajah liar berkenaan menjadi agak agresif. Setelah berbincang, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk memindahkannya hari ini juga bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya hari ini.

Katanya, gajah tersebut dipindahkan menggunakan lori milik Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, faktor gajah berkenaan tidak keluar dari kampung berkenaan kerana sumber makanan di situ mencukupi.

“Gajah berkenaan tak ceroboh masuk kampung tetapi sebaliknya ‘kelik kampung’ tempat dia lahir kerana ‘rindu’.

“Bila tengok kampung dia penuh makanan, mana nak masuk hutan semula,”katanya.

Gajah ini dipindahkan menggunakan lori milik Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan

Berkongsi pengalaman mengendalikan kes ini, Kpl (PA) Mohd Rafie Kifli, Anggota Angkatan Pertahanan Awam ( APM) Sik, berkata, ini kali pertama APM Sik menerima kes berkaitan penangkapan gajah.

“Perasaan takut bercampur teruja berikutan haiwan liar berkenaan sebesar kepala lori 1.5 tan agak agresif.

“Alhamdulillah, operasi berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” ujar beliau.

Antara yang terlibat dalam proses pemindahan haiwan liar ini adalah Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pegawai Perhilitan Daerah Baling, Sharim Md Noor, pegawai dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Ku Mohd Zamzuri, pegawai-pegawai dari Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Utara (PULAPAU) Baling dan
Anggota Rela Daerah Sik.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.