Tdak setuju penagih dadah dipenjara

KUALA LUMPUR-Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak bersetuju golongan penagih dadah dipenjarakan.

Menurutnya, tindakan itu hanya akan memusnahkan masa depan mereka selain mendorong kumpulan itu melakukan jenayah lain atau kembali menagih dadah.

Justeru katanya, usaha mempercepatkan menyahjenayahkan penagihan dadah akan dilakukan dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan membincangkan bagaimana membezakan antara penagih dan pengedar dadah serta kaedah membantu mereka terbabit masalah penagihan dadah, bagi mengantikan hukuman penjara.

“Apabila penagih dipenjarakan, mereka akan ada kes jenayah menyebabkan kebolehan untuk mereka kembali kepada masyarakat, diberi pekerjaan dan ditempatkan semula dalam keluarga akan berkurangan mendadak.

“Cukuplah hidup mereka rosak kerana pengaruh dadah, mereka tidak perlu dipenjara, tidak dapat bekerja dan kembali dalam masyarakat, didiskriminasi dan akhirnya kembali terjerumus dengan masalah dadah,”katanya yang dipetik dari laporan dikeluarkan Berita Harian, semalam.

Mengulas penubuhan jawatankuasa tersebut, Syed Saddiq dilaporkan berkata, ia akan dianggotai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Setiausaha Negara.

Menurutnya, jawatankuasa itu ditubuhkan atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat Kabinet minggu lalu.

“Jawatankuasa ini membabitkan KBS kerana ini isu anak muda. Berdasarkan statistik 2018, sebanyak 18,967 kes penagihan dadah melibatkan anak muda berbanding hanya 6,300 kes bagi golongan dewasa.

“Ini bermaksud jumlah kes membabitkan anak muda tiga kali ganda lebih tinggi berbanding golongan dewasa, sekaligus menjadikan isu ini serius.

“Pendirian KBS dalam mesyuarat Kabinet dan jawatankuasa khas anak muda adalah untuk kita asingkan rawatan antara penagihan dadah dengan pengedar dadah. Penagih dadah bukan penjenayah dan tidak patut dipenjarakan,”katanya.

Tambahnya, piawaian antarabangsa akan digunakan dalam jawatankuasa itu bagi membezakan penagih dan pengedar termasuk beberapa perkara lain secara teliti dan menyeluruh.

“Ada banyak piawaian antarabangsa until membezakan, selain mengambil kira kuantiti dadah dan isu seperti jika individu ditangkap sebelum sempat mengambil dadah.Tetapi bersamanya ada sejumlah besar dadah, cara mengkalifikasikan penagih atau pengedar dadah.

“Semua ini akan dibincang dan diselesaikan secepat mungkin,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.