ALOR SETAR-Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustafa Idrus menyifatkan Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai seorang pemimpin muda yang memiliki semangat juang tinggi dalam memperjuangkan suara rakyat.
Menurut beliau, pelbagai gelaran sinis seperti “Bollywood” dan “Hollywood” yang dilemparkan terhadap Syed Saddiq tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.
“Seorang pemimpin perlu dinilai berdasarkan komitmen, integriti dan hasil kerjanya kepada rakyat, bukannya melalui gelaran atau persepsi yang dibentuk oleh pihak tertentu.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran politik dan kekangan, termasuk isu berkaitan peruntukan, Syed Saddiq tetap aktif turun padang menyantuni rakyat serta membawa pelbagai isu yang dihadapi masyarakat,”katanya.
Dato’ Mustafa turut memuji disiplin Ahli Parlimen Muar itu sepanjang menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
Menurutnya, Syed Saddiq sering dilihat memberi perhatian kepada perjalanan persidangan, mengambil bahagian dalam perbahasan dan membangkitkan pelbagai isu yang menyentuh kepentingan rakyat.
“Komitmen seperti inilah yang perlu dicontohi oleh semua wakil rakyat. Amanah yang diberikan oleh rakyat mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, negara memerlukan lebih ramai pemimpin muda yang berani bersuara, berwawasan dan sanggup berkorban demi kepentingan rakyat tanpa mengira latar belakang politik.
Tambahnya, golongan muda hari ini mahukan pemimpin yang bekerja, bukan hanya pandai berpolitik atau mencari populariti.
Menurut beliau, PAMM Kedah menghargai dedikasi yang ditunjukkan Syed Saddiq dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen.
Beliau berkata, pengalaman yang dimiliki Syed Saddiq sejak usia muda telah membentuk beliau sebagai antara tokoh politik yang mempunyai potensi besar dalam landskap politik negara.
Dato’ Dr Mustafa berpandangan bahawa setiap pemimpin muda yang berwibawa wajar diberikan ruang untuk terus membuktikan kemampuan mereka demi masa depan Malaysia.
“Saya berharap rakyat terus menilai seseorang pemimpin berdasarkan prestasi, komitmen dan khidmat kepada masyarakat, sambil menyatakan keyakinannya bahawa Syed Saddiq merupakan antara pemimpin muda yang berpotensi memegang tanggungjawab lebih besar pada masa hadapan,”katanya.
RENTAS7








Leave a Reply