“Akhlak jemaah tabligh jauh lebih baik daripada manusia sombong”-Petugas KKM

KUALA-LUMPUR– Luluh hati anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila digelar sebagai anjing oleh manusia yang sombong.

Luahan itu dikongsi salah seorang petugas KKM Sakinah Sulong (gambar) di Facebooknya, hari ini

Menurut Sakinah, pengalaman menjadi petugas yang mengambil sampel untuk COVID-19, adakalanya menjentik hatinya.

“Manusia tak kira apa warna kulitnya, datang dengan dua lubang hidung, satu mulut untuk kami ambil swabnya. Tak kiralah siapa dia.

“Pengarah Jabatan ke, jemaah tabligh ke,
doktor ke, pelajar ke, semuanya sama. Lubang hidungnya sama. Rongga mulutnya sama,”tulisnya di Facebook hari ini.

Namun katanya, apa yang membuatkan mereka ralat ialah apabila menyaksikan ada manusia yang sangat sombong.

“Masa kami ambik sampel jemaah tabligh, rata-ratanya mudah bagi kerjasama. Datang awal kalau diminta datang untuk pensampelan. Jarang yang buat masalah. Jarang yang nak bergaduh dengan petugas.

“Tapi bila ada golongan yang baru turun dari kayangan ni, (yang baru pulang dari luar negara) macam-macam karenah terpaksa dihadapi. Tak nak dikuarantin. Marah-marah.

“Panggil staff kami ‘dog’. Panggil staff kami pencacai najis. Memang sangat kurang ajar!,”katanya.

Katanya, mereka tidak kisah bekerja keras untuk menyekat penularan COVID-19 bahkan tidak meminta dihampar karpet merah.

“Tapi betapa kami dihina hanya kerana kami cuba melakukan tugas kami. Sangat menyedihkan.

“Sampaikan ada petugas yang terpaksa berundur tak mampu bersuara. Bimbang timbul kekasaran kerana dimaki begitu,”katanya.

Kata Sakinah lagi, baginya lebih baik sekiranya laporan polis dibuat sekiranya individu dikuarantin bersikap sedemikian.

“Atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan arahan kepada pihak yang dikuarantin, sekiranya tak nak bagi kerjasama, disumbat lokap sementara!,”katanya.

Menurutnya, petugas KKM hanya bertindak mengikut arahan demi untuk memastikan rakyat Malaysia yang baru sampai dari luar negeri ini selamat dan tidak menyebarkan pada orang lain.

“Memang kami kena kerja kuat sekarang. Pihak atasan duk pikir mana nak tempatkan mereka, pihak staff bawahan yang bertugas siang dan malam nak buat saringan. Bukan suka-suka.

Tapi, nampaknya, ada orang turun kayangan ini, sombongnya bukan main, bagai dipijak-pijak maruah kami, petugas kesihatan! Memang tak bersyukur!,”katanya.

Sakinah menambah, hari ini dia dan rakan-rakan menerima pemberian KFC daripada seorang jemaah tabligh yang telah melakukan ujian swab dengan mereka.

Pemberian KFC oleh jemaah tabligh

“Inilah indahnya akhlak mereka, jauh benar nak dibuat perbandingan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.