Sistem janji temu di fasiliti kesihatan Premier KKM

KUALA LUMPUR -Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited dalam usaha ke arah pendigitalan sistem kesihatan agar sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021 – 2025 KKM di bawah Teras Strategik 2 iaitu Pemantapan Teknologi Baharu.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, mengambil kira masa menunggu yang lama, sistem janji temu melalui Aplikasi MySejahtera yang sedia ada di semua fasiliti kesihatan primer akan diperluaskan sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses klien di fasiliti kesihatan primer.

“Perkhidmatan yang akan dimasukkan dalam sistem janji temu ialah Rawatan Pesakit Luar, Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI), Saringan Kesihatan PeKa B40, Pemeriksaan Kesihatan Pra-Pekerjaan / Pra-Pengajian, Saringan Pra-Perkahwinan, Khidmat Berhenti Merokok (KBM), Perkhidmatan Perancang Keluarga, Prosedur (rawatan luka, penukaran tiub, dan lain-lain,”katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan ini telah dimulakan di 673 Klinik Kesihatan secara berfasa, bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat.

“Sistem janji temu ini bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di
tempat pendaftaran dan menunggu.

“Antara kelebihan sistem janji temu atas talian ini termasuklah pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa.

“Selain itu pelanggan juga boleh mengubah tarikh janji temu melalui Aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke fasiliti kesihatan,”katanya.

Beliau berkata, sistem itu juga mempunyai fungsi Automated Reminder supaya pelanggan menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh yang telah ditempah.

“Untuk kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit, orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan primer tanpa perlu membuat janji temu.

“Sistem janji temu Aplikasi MySejahtera bagi tahun 2023 telah mula sepenuhnya dan tempahan boleh dilakukan bermula hari ini.

“Dengan pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan yang disediakan KKM ini, saya harap ia dapat mempromosi program-program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer kepada masyarakat dengan lebih berkesan serta menjadikan sistem
perkhidmatan penjagaan kesihatan negara lebih efisien,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.