Solat rapat tanpa alasan esok

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU– Tinggal beberapa jam saja untuk memasuki 1 April, tarikh dibenarkan solat tanpa jarak di masjid dan surau di seluruh negara.

Tarikh itu juga menandakan berakhirnya ‘penaklukan’ COVID-19 sejak Mac 2020 di Malaysia.

Dalam tempoh dua tahun, masjid dan surau mengalami transisi bermula dengan ia ditutup kepada jemaah kecuali imam dan AJK, disusuli kebenaran solat dengan had mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Tidak lama kemudian, bilangan jemaah ditambah sebelum kebenaran solat tanpa jarak oleh kerajaan mulai esok.

Sudah tentu ramai berharap kebenaran itu dilaksanakan tanpa alasan oleh kerajaan negeri yang mempunyai kuasa penuh untuk menerima atau menolak untuk solat rapat.

Sebagai umat Islam, pastinya ramai rindu untuk solat seperti biasa tanpa diikat lagi dengan SOP apatah lagi kita akan menyambut Ramadan pada 3 April ini.

Justeru, anggaplah esok sebagai peluang terbesar dari ALLAH kepada kita untuk sentiasa utamakan jemaah di masjid atau surau.

Janganlah peluang yang dihidang di depan mata ditarik semula dan kemudian kita kembali ‘menggelupur’ di media sosial dengan status ‘rindu’ masjid.

RENTAS7/ Foto: Kolej Komuniti Paya Besar

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.