“Saya merayu kepada kerajaan Kedah.. tolong segerakan bantuan kepada rakyat”

 

BALING– Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris merayu kepada Kerajaan negeri Kedah supaya menyegerakan bantuan kepada rakyat terjejas COVID-19.

Beliau berkata, sudah empat hari Kedah mengumumkan inisiatif kerajaan negeri menangani COVID-19 .

Namun katanya, hingga kini beliau melihat tiada pergerakan untuk tujuan itu khususnya dalam DUN Bayu.

Saya ADUN Bayu merayu kerajaan Kedah ( Exco angkat) untuk segera salurkan peruntukan yang diumum sebanyak RM100,000 bagi setiap DUN bagi membeli barang makanan keperluan harian,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 21 Mac, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan peruntukan inisiatif bernilai RM21juta bagi membantu rakyat yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia dipecahkan kepada 9 cabang agihan dengan salah satunya ialah memperuntukan RM100,000 untuk setiap DUN.

Bagi kawasan pembangkang kerajaan negeri melantik EXCO angkat bagi menguruskan bantuan berkenaan.

Dalam pada itu Abd Nasir berkata, unit bencana dan keselamatan Majlis Tindakan Daerah (MTD) perlu diaktifkan segera.

“Tak kira lah ia disalurkan melalui penyelaras DUN, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) pegawai masjid atau jawatankuasa kariah.

“Asalkan ia dapat menyelesaikan masalah yang amat mendesak dan menghimpit ini,”katanya.

Beliau berkata, sekiranya RM100,000 diagih dalam bentuk barangan keperluan bernilai RM50 setiap pek, maka ia boleh menampung keperluan makanan bagi 2,000 keluarga yang terjejas teruk.

“Kita dapat agih kepada 100 buah kampung atau komuniti di seluruh DUN Bayu dengan nisbah purata setiap kampung menerima 20 pek.

“Sebanyak 20 pek makanan yang ada mudah- mudahan membantu setengah pihak yang sangat memerlukan dan terputus bekalan makanan.

“Jika ada tambahan 10 pek dari pejabat zakat melalui penolong amil dilantik setiap kariah, walaupun hanya lebih kurang 30 pek makanan bagi setiap kampung atau komuniti ianya amat bermakna untuk golongan sangat memerlukan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.