“Saya cuma Cina Islam yang sayangkan Islam dan Malaysia”

KUALA LUMPUR-Pendakwah bebas Ebit Lew memohon maaf kepada mana-mana pihak sekiranya beliau ada melakukan kesalahan.

Permohonan maaf itu dibuat susulan ada pihak membuat aduan terhadap pihak polis berkaitan satu kes yang tular baru-baru ini.

“Menangis dari tadi. Cuma nak menangis pada Allah. Entahlah. Tersandar rasa. Rasa penat sangat. Walau saya ada kebenaran untuk memberi bantuan.

“Dari tengah malam semalam saya dihubungi untuk ke Cawangan Khas Bukit Aman. Terus ke sana hari ini untuk mendapatkan dan memberi penjelasan terutama kes viral beberapa hari lalu kerana ada aduan,”katanya di Facebook rasminya hari ini.

Ebit Lew mengakui dirinya sukar melihat kesusahan masyarakat dan itu mendorongnya untuk tampil membantu.

“Saya memang tak boleh tengok orang tidur atas najis atau tepi jalan. Lebih seratus orang dah saya bayar penginapan dan tempat tinggal.

“Cuma beberapa kes tu saya kongsikan dengan kawan di media FB saya. Saya pun tak niat nak viral apa ke.Ramai anak-anak susah terbiar tahfiz saya bayarkan yuran mereka.

“Perniagaan saya sebenarnya sangat baik. Syukur pada Allah. Rezeki melimpah ruah. Saya belanja duit saya sendiri dari dulu lagi untuk bantu orang dimana-mana,”katanya.

Jelasnya, berjuta ringgit wang simpanannya telah dibelanjakannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Masa PKP ini dah berjuta habis. Duit simpanan saya sendiri dah sejuta ringgit saya belanjakan. Sekarang ramai juga mula bersama saya dalam kerja membantu dan menyelamatkan mereka yang dalam kesusahan termasuk frontliner.

“Saya minta maaf. Saya memang jadikan media ini medan berkongsi rasa kasih sayang dengan semua,”katanya.

Engan menyalahkan sesiapa, Ebit Lew  menegaskan dirinya  sayangkan Islam dan Malaysia.

“Tadi menangis saya beri keterangan pada beberapa pegawai sebab penat kot. Serius penat sangat.

“Saya tak salahkan sesiapa. Saya bukan ahli politik. Saya bukan sesiapa. Cuma cina Islam yang sayangkan Islam dan Negara Malaysia,”katanya.

Tambahnya, atas nasihat, setakat ini sahaja dirinya berkhidmat pada semua secara langsung.

“Saya cuma akan transfer (pindah) duit pada orang susah. Saya teruskan dari rumah sahaja. Jangan tag saya lagi kes orang susah. Nanti habis PKP baru saya cuba bantu.

“Saya cuma nak peluk anak saya. Saya nak peluk bidadari saya. Selamat Ramadhan pada semua. Jika ini harga perlu dibayar setelah semua ini saya reda. Saya minta maaf pada semua ye. Saya salah. Kepada Allah saya berserah,”katanya.

Baru-baru ini pendakwah disayangi ramai itu tampil membantu sebuah keluarga asnaf di Kampung Derga Alor Setar sehingga tular di media sosial.

Pihak tertentu juga dilihat tidak senang duduk dengan bantuan pendakwah berkenaan.

Kisah keluarga Pak Ishak yang lumpuh dan hidup bersama isteri, lapan anak dan 10 cucu mendapat perhatian ramai apabila keluarga yang hidup dalam kediaman serba dhaif itu berjaya dipujuk Ustaz Ebit Lew untuk berpindah ke rumah baru .

Difahamkan, keluarga itu telah dipujuk sejak 12 tahun lalu oleh pihak berwajib untuk berpindah ke kediaman lain namun gagal.

 

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.