PMX dinasihat tidak angkuh dan selesa, jawatan hanya sementara

Datuk Mustaffa Idrus

 

SUNGAI PETANI -Perdana Menteri dinasihati tidak terlalu selesa dan angkuh dengan jawatan disandang kerana ia mampu berakhir sekelip mata.

Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu ( PAMM) Negeri Kedah Datuk Mustaffa Idrus berkata, seorang Perdana Menteri perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan khususnya yang boleh menguriskan hati umat Islam negara ini.

“Baru-baru ini PMX mengeluarkan kenyataan kepada umat Islam Malaysia supaya tidak selesa dan tidak angkuh sehingga meminggirkan kelompok lain.

“Bagi PAMM kenyataan dikeluarkan itu amat tidak sesuai, apatah lagi ia disebut oleh seorang ketua pemimpin negara. Justeru kami nak ingatkan beliau supaya usah selesa dan angkuh dengan jawatan yang ada,”katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, kelompok lain selain Melayu Islam bebas hidup di negara ini tanpa gangguan seperti mana diterima umat Islam minoriti di Uighur China, Melayu Patani di Thailand, minoriti Melayu Filipina dan lain-lain.

Menurutnya, kaum lain di negara ini langsung tidak menerima nasib seperti mana umat Islam di negara lain.

Katanya, ia embuktikan umat Islam negara ini tidak angkuh dan memberikan layanan baik kepada mereka bukan Islam.

“Adakah bangsa lain bukan beragama Islam hidup ditekan dan dizalimi seperti mana diterima umat Islam minoriti di negara lain?

“Apakah selama ini bangsa lain tidak boleh berniaga? Tak boleh bersekolah? Tidak! Bahkan mereka bebas menganuti agama mereka dengan bebas di Malaysia.

“Maka, apakah kewajaran seorang Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan supaya umat Islam negara ini supaya tidak angkuh dan tidak meminggirkan kelompok lain?

“Kami ingin menasihati beliau supaya tidak terlajak kata dengan jawatan yang ada. Seorang pemimpin perlulah adil dan berhemat dalam setiap tindak tanduk,”katanya.

Anwar yang dilaporkan media berkata, kaum majoriti perlu mengambil pelajaran daripada pentadbiran Kemboja yang meraikan umat Islam negara itu.

Kemboja sebuah negara Melayu kini hanya tinggal nama dengan kaum terbesar menjadi minoriti setelah menerima penindasan rejim Pol Pot.

Di bawah pemerintahan komunis Khmer Rouge pada tahun 1975 hingga 1979, dianggarkan setengah juta rakyat Kemboja dibunuh baik beragama Islam dan bukan.

Melayu Kemboja kini rata-ratanya sudahnya tidak mampu bertutur bahasa ibunda mereka.

RENTAS7

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.