Rayuan Dr Maza kepada jemaah tabligh

KANGAR– Mufti Perlis merayu kepada jemaah tabligh yang belum membuat pemeriksaan bagi mencegah COVID-19 selepas terlibat perhimpunan di Sri Petaling supaya berbuat demikian.

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, beberapa pihak memaklumkannya bahawa masih ada jemaah tabligh yang belum melakukan pemeriksaan.

“Dengan rendah diri menyusun jari saya merayu kepada sahabat-sahabat Tabligh yang dikasihi, di Negeri Perlis,.

“Juga di luar Perlis yang terbabit dengan perhimpunan di Sri Petaling baru-baru ini, pergilah membuat pemeriksaan di pusat-pusat kesihatan yang disediakan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ada yang memberikan alasan penyakit dari ALLAH, kita perlu redha.

“Ada pula yang berkata ‘masjid tempat baik, tiada jangkitan akan berlaku ‘. Ada pula berkata ‘jangan takut virus tapi takut ALLAH’. Ada pula berkata ‘kalau mati syahid’ dan pelbagai lagi falsafah yang disalahgunakan.

“Penyakit ini berjangkit. Jika sekadar menimpa seseorang tanpa membabitkan orang lain, maka itu terpulang pada individu tersebut. Ada pendapat fuqaha di situ,”katanya.

Namun katanya, bagi virus yang mudah berjangkit, ditambah dengan kehadiran ramai secara aktif ke masjid dan surau, amatlah salah kerana telah membahayakan masyarakat yang lain.

“Agama melarang kita membahayakan pihak lain tanpa alasan yang benar. Tidak wajar untuk kita menambah beban kepada pihak KKM untuk mencari saudara-saudara ke serata tempat untuk diperiksa.

“Saya difahamkan di Perlis pihak KKM terpaksa buat operasi mencari saudara-saudara yang terbabit. Berikanlah kerjasama dan kasihanilah Umat Islam yang lain.

“Bahkan bukan muslim sekalipun tidak boleh kita membahayakan mereka. Janganlah saudara-saudara hadir ke masjid atau selainnya melainkan saudara-saudara disahkan selamat.

“Saya benar-benar memohon merayu kepada saudara-saudara yang terbabit. Saya percaya saudara-saudara orang yang baik-baik dan ingin mencari redha ALLAH. Niat saudara ingin berjamaah juga baik, tapi tolonglah.,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.