Longgar PKP, Najib tanya kenapa gelojoh sangat?

KUALA LUMPUR-Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegur kerajaan yang melonggarkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disifatkannya sebagai “gelojoh”.

Beliau berkata, jumlah terkini kes jangkitan COVID-19 dalam negara ini menunjukkan virus COVID-19 masih merebak dalam masyarakat tempatan.

“Negara pada hari ini merekodkan 69 kes Covid baru, 12 daripadanya kes import manakala hanya 39 pesakit sembuh.

“Ini bermakna 57 adalah jangkitan dalam negara akibat penularan virus Covid yang masih merebak dalam masyarakat tempatan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, situasi terkini itu menunjukkan angka bagi kes jangkitan meningkat sejak beberapa hari lalu.

“Maka, kita bertanya, apa keperluan untuk beri kelonggaran begitu besar secara serentak bermula Isnin depan walaupun fasa ke-4 PKP ini hanya akan berakhir pada 12 Mei?

“”Slow and steady”. Sektor demi sektor. Secara beransur ansur. Tak perlu gelojoh sangat. Janganlah sekaligus. Nanti susah nak kawal,” katanya.

Najib berkata, kelonggaran PKP fasa 4 mendedahkan negara ini dengan kluster baru.

“Bila kita buat sekaligus macam ini, ia akan beri risiko kepada khidmat kesihatan dan petugas kesihatan kita.

“Adakah mereka bersedia jika berlaku kluster baharu secara mendadak dan jumlah yang ramai? Kanada dan Jepun sudahpun berlaku apabila mereka longgarkan lockdown, kes jangkitan meningkat mendadak.

“Dan jika pun nak buka semula, beritahulah awal-awal supaya kita boleh membuat persediaan yang lebih teratur.

“Ini hari Jumaat beritahu, hari Isnin depan dah perlu kerja. Pulak tu, hari ini adalah hari kelepasan am. Mahu kelam kabut dibuatnya. Perancangan kena betul kerana ia melibatkan rakyat,” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan memberi tempoh persediaan membuka premis dahulu sebelum membenarkan ia beroperasi.

“Apa kata minggu depan bermula 4 Mei dikira sebagai tempoh persediaan untuk membuka sahaja?

“Sebagai contoh, pengusaha restoran boleh aturkan meja, beli sanitizer, buat signboard peringatan SOP jarak diri, buat jadual kerja untuk pekerja. Sediakan kertas untuk catat nama pelanggan dan nombor telefon. Beli stok. Lukis garisan untuk tempat beratur.

“Selepas itu, 11 Mei baru restoran boleh dibuka untuk pelanggan duduk makan? Perlu dilakukan secara beransur-ansur dan bukan secara mendadak seperti ini,”, katanya.

Bermula 29 April, kerajaan melonggarkan pelaksanaan PKP fasa 4 antaranya membenarkan ketua keluarga yang keluar membeli barangan keperluan atau makanan membawa seorang lagi teman.

Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi bermula 4 Mei dengan syarat-syarat dan SOP ditetapkan pihak berkuasa kecuali yang melibatkan perhimpunan ramai.

Selain itu, kerajaan membenarkan aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan antaranya ialah berjogging, kayuh basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.