Memacu ekosistem nanoteknologi negara secara dinamik melalui RMNK

Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA-Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan inisiatif Rangkaian Makmal Nanoteknologi Kebangsaan (RMNK) melalui kerjasama dengan semua pemegang taruh bagi membentuk serta memacu ekosistem nanoteknologi negara secara lebih progresif dan dinamik.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kewujudan portal RMNK melalui pautan www.mosti.gov.my/rmnk akan memudahkan para penyelidik dan pemain industri mendapatkan maklumat tentang peralatan dan teknologi yang sedia ada dalam negara.

“Secara tidak langsung, para penyelidik juga akan mendapat hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan dalam waktu lebih singkat dan efisien apabila menggunakan makmal serta kemudahan yang sedia ada di dalam negara.

“Sebelum ini, para penyelidik dan pemain industri menghantar sampel penyelidikan untuk ciri pengukuran teknologi nano ke luar negara kerana kekurangan maklumat berkenaan sumber dan kemudahan yang disediakan dalam negara,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas 15 tahun Inisiatif Nanoteknologi Nasional atau National
Nanotechnology Initiative (NNI) diperkenalkan, pelbagai pencapaian
dalam bidang nanoteknologi telah berjaya dilaksanakan.

Menurutnya, salah satu contoh ialah
pelaksanaan Pelan Tindakan Graphene Kebangsaan 2020 di mana lebih 50 projek telah diaktifkan, mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi termasuk sumbangan pendapatan syarikat sehingga RM3 bilion pada lima (5) tahun pertama pengkomersialan.

“Bermula tahun 2006, Kerajaan telah mengorak langkah untuk menerokai
peluang yang wujud menerusi nanoteknologi dengan memperkenalkan Inisiatif Nanoteknologi Nasional atau National Nanotechnology Initiative (NNI) yang dilaksanakan bertujuan memastikan nanoteknologi berada di dalam arus perdana STI negara seiring dengan negara-negara maju.

“Dua (2) buah entiti utama sektor ini di Malaysia adalah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) dan NanoMalaysia Berhad (NMB),”katanya.

Khairy berkata, NNC bertindak sebagai pusat rujukan nasional bagi penyelarasan aktiviti R&D berkaitan nanoteknologi di Malaysia manakala NanoMalaysia Berhad (NMB) berperanan menggalakkan aktiviti R&D bersama industri dan pengkomersialan projek-projek berasaskan nanoteknologi tempatan.

“Dengan adanya RMNK, penggunaan sumber yang lebih efisien dapat dipertingkatkan, kos penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengaliran wang ke luar negara dapat dikurangkan.

“Portal ini akan membolehkan para penyelidik dan industri memanfaatkannya bagi tujuan mendapatkan bantuan konsultansi dan nasihat teknikal serta penggunaan peralatan bagi menjalankan
kajian berdasarkan nanoteknologi,”katanya.

Beliau berkata, portal itu juga diharapkan dapat menggalakkan lebih ramai penyelidik dan pemain industri untuk terlibat secara aktif di dalam Malaysia Grand Challenge (MGC) yang menyediakan dana berjumlah lebih RM220 juta bagi tujuan R&D di bawah Program Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU) MOSTI,”katanya.

Rentas7.com

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.